Kami telahpun menonton filem MCU paling ditunggu-tunggu tahun ini, iaitu Ant-Man and the Wasp: Quantumania (2023), dan ini adalah review filem Ant-Man and the Wasp: Quantumania dari kami.

Filem Ant-Man and the Wasp: Quantumania merupakan 'pembuka' kepada MCU Fasa 5, dan secara rasminya memperkenalkan watak antagonis utama, iaitu Kang the Conqueror.

Filem Ant-Man and the Wasp: Quantumania mengisahkan tentang Scott Lang/Ant-Man yang kini menjadi 'selebriti' di kejiranannya dan dikenali di mana sahaja beliau pergi. Kini menjalani kehidupan sebagai orang biasa selepas kejadian dalam Avengers: Endgame, beliau turut dikelilingi ahlie keluarga lain seperti Hope van Dyne/Wasp, Janet van Dyne, Hank Pym dan anak perempuannya Cassie Lang. Namun, kehidupan mereka berubah sekelip mata apabila disedut masuk dan terperangkap dalam Quantum Realm, membuka ruang kepada penjelajahan dunia baharu yang mengasyikkan. Namun, di situ juga mereka berhadapan dengan satu entiti yang menakutkan - seorang time traveller yang disifatkan Janet sebagai sangat merbahaya. Dapatkah mereka melepaskan diri? Jangan lupa saksikan filem Ant-Man and the Wasp: Quantumania di pawagam sekarang.

Selepas agak kecewa dengan filem-filem dalam MCU Fasa 4, penceritaan dalam filem Ant-Man and the Wasp: Quantumania seharusnya boleh dipuji. Elemen world building sememangnya dibangunkan dengan agak teliti, di mana siapa sangka yang sebenarnya di sebalik Quantum Realm itu sebenarnya adalah sebuah dunia dengan ekosistem tersendiri, lengkap dengan manusia dan makhluk aneh yang menghuninya, dan dengan keunikan tersendiri. Namun, penonton yang terbiasa dengan filem Star Wars pasti tidak dapat mengelakkan untuk membandingkan filem ini dengan beberapa scene dari francais filem Star Wars. Kualiti CGI pada kami adalah biasa sahaja, namun berjaya menimbulkan keunikan tersendiri penghuni-penghuni di Quantum Realm.


Untuk big bad, semestinya penampilan Jonathan Majors sebagai Kang the Conqueror amatlah dinantikan dalam filem ini, selepas tampil sebagai He Who Remains, salah satu varian Kang dalam siri Disney+ Loki sebelum ini. Kami merasakan Majors berjaya menampilkan watak antagonis yang menakutkan dan kejam. Transisi Kang yang pada awalnya kelihatan baik, namun kemudian berubah menjadi menggerunkan ditampilkan dengan baik sekali oleh Majors. Tak sabar kami menantikan apakah yang terpaksa dilakukan oleh pasukan Avengers untuk mengalahkan Kang dalam filem Avengers: The Kang Dynasty nanti. 

Dari segi jalan cerita, sejujurnya kami agak kurang berpuas hati. Selain aspek world building dan pengenalan watak Kang the Conqueror, sebenarnya tiada pembaharuan besar dalam jalur penceritaan sebuah filem MCU yang merupakan pembuka MCU Fasa 5. Jalan ceritanya agak biasa, linear dan seakan boleh dijangka pengakhirannya. Namun ianya tidak teruk sehingga mendatangkan kebosanan kepada penonton. Pada pandangan kami, dengan tempoh tayangan selama 2 jam 4 minit, ianya seakan meleret namun masih seronok ditonton.


Untuk filem Ant-Man and the Wasp: Quantumania, penampilan Mechanized Organism Designed Only for Killing atau M.O.D.O.K. sememangnya dinantikan, selepas telahpun diacah dalam treler sebelum ini. Namun jujur kami merasakan, watak M.O.D.O.K. telah dibazirkan untuk filem ini. Kami nampak logika untuk mengaitkan watak Darren Cross/ Yellowjacket dalam filem pertama Ant-Man dan transisinya kepada M.O.D.O.K. dalam filem ini, namun sayang kerana ianya indah khabar dari rupa. M.O.D.O.K. tidak ubah hanyalah watak tempelan, dan hanya wujud untuk mendatangkan rasa simpati kepada penonton dan akhirnya hanya sebagai memenuhi redemption arc untuk watak berkenaan. Dari aspek CGI muka Darren ke atas watak M.O.D.O.K. juga mengejutkan bagi filem dengan level ini, kerana kelihatan tak kemas dan jadi lucu pada akhirnya.


Usai menonton, jangan terus keluar dari pawagam, kerana ada 1 mid credit scene dan 1 end credit scene yang berkait dengan entri lain dalam MCU sebelum ini.

Nampaknya MCU Fasa 5 ini akan berjalan dengan agak menarik, apabila sudah ada antagonis baharu yang kami rasakan lebih menggerunkan berbanding Thanos. Tak sabar untuk kami nantikan bilakah pula Kang the Conqueror akan muncul semula di layar perak, dengan kuasa dan pengetahuannya yang menakutkan itu.

PENILAIAN : 4/5 BINTANG

P/S: Jika anda sukakan review ini, jangan lupa untuk kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah. Sokongan anda amatlah kami hargai dalam usaha memberikan lebih banyak informasi yang menarik untuk bacaan anda.

KOMEN ANDA

Previous Post Next Post