Review Filem Avengers: Endgame (2019) - Pengakhiran Infinity Saga Yang Memuaskan

Review Filem Avengers: Endgame (2019) - Pengakhiran Infinity Saga Yang Memuaskan

Kami akui, dalam banyak-banyak filem yang kami nantikan di tahun 2019 ini, Avengers: Endgame merupakan filem yang paling kami nanti-nantikan. Dan kami telahpun berpeluang untuk menonton filem Avengers: Endgame pada semalam.


Sepertimana dimaklumkan sebelum ini, garis masa 22 filem MCU yang dimulakan oleh filem Iron Man telah diberi nama Infinity Saga, dan akan diakhiri dengan filem Avengers: Endgame. Dan kami berpendapat ianya adalah pengakhiran terbaik yang memberi keadilan untuk hampir kesemua watak (hampir, sebab sebenarnya boleh jadi lebih bagus).


Filem Avengers: Endgame menyambung jalan cerita dari Avengers: Infinity War, selepas Thanos berjaya melenyapkan separuh hidupan galaksi. Anggota Avengers terpaksa berdepan hakikat yang mereka telah kalah dan gagal, dan menyebabkan rakan mereka juga terkorban. Situasi berubah apabila Captain Marvel muncul di awal filem, dan kelihatan telah ada kelebihan di pihak Avengers. Namun cubaan untuk membatalkan petikan jari Thanos telah gagal.
Seperti mana didedahkan melalui pelbagai teori sebelum ini, Ant-Man merupakan figura penting untuk menjadikan usaha mereka ini suatu kenyataan. Bagaimana Ant-Man berjaya keluar dari Quantum Realm selepas terperangkap di penghujung filem Ant-Man & The Wasp? Yang itu korang kena saksikan di pawagam.

Turut memainkan peranan besar dalam filem ini adalah Hulk, yang akhirnya muncul jua selepas hanya ditampilkan di awal filem Avengers: Infinity War. Penampilan Hulk dalam filem ini tidaklah mengejutkan, dan disebabkan itulah gambaran Hulk tidak kelihatan dalam trailer Avengers: Endgame demi untuk menyimpan sedikit kejutan untuk penonton (walaupun telah dibocorkan melalui gambar merchandise tie-in yang dikongsikan di media sosial).

Filem sebesar Avengers: Endgame sudah pasti akan diakhiri dengan kejutan yang besar. Umum mengetahui kontrak lakonan Robert Downey Jr. (Iron Man) dan Chris Evans (Captain America) akan berakhir dengan filem Avengers: Endgame. Adakah kedua-dua watak ini akan mati dalam filem Avengers: Endgame? Kami taknak spoilkan untuk korang, tontonlah sendiri.
Bagi kami, ada beberapa adegan yang menyebabkan kami sangat berpuas hati, seperti akhirnya dapat melihat dan mendengar sendiri Cap menyebut "Avengers, Assemble!" selepas diberikan bayangan dalam filem Avengers: Age of Ultron. Terdapat juga beberapa adegan bayangan yang telah diberikan dalam beberapa filem MCU sebelum ini yang akhirnya menjadi realiti dalam filem ini.
Sudah tentunya kembalinya hak tayangan untuk watak X-Men dan Fanstastic Four akan membuka ruang baru untuk filem-filem MCU akan datang. Oleh itu, penutup 11 tahun pertama ini sangat epik dan menunjukkan betapa berjayanya Marvel Studios merangka perjalanan filem mereka. Siapa sangka filem superhero akan menjadi sebesar ini, yang hanya dimulakan oleh Iron Man iaitu watak komik yang kurang dikenali sebelum ini.

Kami berikan rating 4.9/5 untuk filem Avengers: Endgame. Kami cuba untuk tidak spoilkan jalan cerita filem ini untuk beri peluang anda tonton dan nilaikan sendiri.

1 comment:

Powered by Blogger.