Review Filem Captain Marvel (2019) - Superhero Terhebat MCU!

Review Filem Captain Marvel (2019) - Superhero Terhebat MCU!


Akhirnya kami dapat juga kesempatan untuk menonton filem Captain Marvel. Walaupun agak lambat berbanding orang lain, kami sertakan juga review filem Captain Marvel.


Berbeza dengan filem-filem MCU terdahulu, filem Captain Marvel menampilkan latar tahun 90-an, dengan watak seperti Nick Fury dan Ejen Coulson ditampilkan lebih muda dengan penggunaan teknik CGI. Filem ini memaparkan watak Carol Danvers/ Captain Marvel yang telah mempunyai kuasa hebatnya, dengan adegan flashback tentang bagaimana dia memperolehi kuasa tersebut.

Pembukaan filem Captain Marvel menampilkan montaj biasa untuk filem Marvel Studios, cuma bezanya kali ini adalah montaj penampilan cameo Stan Lee sebagai memperingati kematiannya baru-baru ini, beserta ayat "Thank You Stan".



Dalam filem Captain Marvel, Ben Mendelsohn melakonkan watak Talos, ketua bangsa Skrull, iaitu makhluk asing yang boleh bertukar rupa dan merupakan musuh ketat kepada bangsa Kree. Walaupun digambarkan sebagai penjahat pada awalnya, terdapat sedikit twist hampir ke penghujung filem di mana Skrull yang ditampilkan dalam filem ini adalah sebenarnya 'mangsa' peperangan yang ingin mencari kediaman baru selepas peperangan Kree - Skrull. Maknanya sepertimana manusia, Skrull juga mempunyai sisi baik dan juga jahat. Mungkinkah Skrull versi jahat akan ditampilkan dalam filem Marvel selepas ini?

Filem Captain Marvel mengisahkan Carol Danvers (Brie Larson) yang menjadi superhero terhebat apabila Bumi terperangkap dalam peperangan galaksi antara dua kaum makhluk asing. Berlatarkan tahun 1990-an, filem Captain Marvel membuka ruang sisi baru Marvel Cinematic Universe untuk pertempuran di angkasa lepas. Kuasa Captain Marvel sememangnya tiada tandingan kerana berseorangan sahajapun sudah mampu berhadapan dengan angkatan perang Kree dan memusnahkan kapal angkasa Kree, diketuai oleh Yon-Rogg (Jude Law), dengan penampilan Lee Pace yang menyambung semula wataknya dalam filem Guardians of the Galaxy sebagai Ronan, kali ini mengetuai pasukan tentera Kree iaitu Accuser.


Filem ini juga menampilkan watak Goose, kucing oren yang sebenarnya adalah makhluk asing Flerken berupa kucing domestik yang mempunyai pocket dimension dalam mulutnya. Ada beberapa adegan di mana Goose berjaya mencuri tumpuan daripada pelakon utama lainnya.

Filem Captain Marvel turut menjelaskan cara bagaimana Nick Fury menghubungi Captain Marvel, dan kenapa Fury hanya cuba menghubungi Captain Marvel selepas apa yang berlaku dalam filem Avengers: Infinity War. Sebagai tambahan, asal-usul nama Avengers juga sebenarnya adalah berasal dari callsign penerbangan Carol Danvers, iaitu Avenger. Pada awalnya, cadangan The Avengers Initiative ingin dinamakan oleh Nick Fury sebagai The Protector Initiative.

Selain Brie Larson, filem Captain Marvel turut dibintangi Samuel L. Jackson, Ben Mendelsohn, Lashana Lynch, Gemma Chan, Algenis Perez Soto, Rune Temte, McKenna Grace, Annette Bening, Jude Law, Djimon Hounsou, Lee Pace dan Clark Gregg.

Kami berikan 3.5/5 bintang untuk filem Captain Marvel, kerana kami rasakan tempo filem ini agak perlahan berbanding filem Marvel yang lain.

Captain Marvel akan muncul dalam filem Avengers: Endgame pada bulan April ini.

No comments:

Powered by Blogger.