Kami telah diberikan kesempatan untuk menonton filem animasi keluarga terbaharu, iaitu Migration (2023) bertempat di GSC Tropicana Gardens Mall pada semalam. Terima kasih kepada United International Pictures (UIP) Malaysia atas undangan tersebut. Dan ini adalah review filem Migration dari kami.

BERKAITAN: Treler Dan Poster Filem Animasi Migration Diperlihatkan

Filem Migration mengisahkan tentang keluarga itik Mallard yang tinggal dalam keadaan aman di sebuah kolam terpencil di New England, bebas dari gangguan luar. Si ayah, Mack amat berpuas hati dalam usahanya untuk memastikan keluarga kecilnya sentiasa selamat, terdiri dari isterinya Pam, anak remajanya Dax, dan anak bongsunya Gwen. Walau bagaimanapun, Pam masih menyimpan hasrat untuk memperkenalkan anak-anak mereka kepada dunia luar yang serba luas. 

Namun, suasana berubah apabila sekumpulan keluarga itik yang berhijrah datang singgah ke kolam mereka dan berkongsikan kisah pengembaraan mendebarkan tentang tempat-tempat jauh yang mereka lawati, Pam kembali menjadi teruja, dan memujuk Mack untuk memulakan perjalanan keluarga mereka, merentasi bandar New York dan seterusnya menuju ke negara tropika Jamaica. Apakah yang bakal berlaku sepanjang pengembaraan mereka sekeluarga? Jangan lupa saksikan filem Migration yang akan ditayangkan di pawagam pada 28 Disember 2023 ini.

Sesuai dengan tarikh tayangan pada musim cuti sekolah, filem Migration ini adalah filem animasi keluarga yang amat sesuai ditonton oleh seisi keluarga. Kami pasti ibu bapa akan membawa anak-anak mereka untuk menonton dan menghayati filem Migration ini, yang sarat dengan elemen kekeluargaan, ibu bapa yang sanggup melakukan apa sahaja untuk melindungi anak-anak mereka, nilai persahabatan, percaya terhadap kebolehan diri sendiri, dan berani keluar dari zon selesa untuk menempuh cabaran dan pengalaman baharu. Kesemua elemen yang kami senaraikan di atas ada diterapkan dalam filem Migration. Jadi, sudah tentulah ini moment terbaik untuk ibu bapa menerapkan nilai moral baik dalam diri anak-anak mereka, usai menonton filem ini di pawagam nanti. 

Kesimpulannya, walaupun filem Migration ini bolehlah dikatakan filem animasi dengan resepi biasa, apatah lagi mengambil slot `selamat´ ketika cuti sekolah (di mana boleh dijangka yang kebanyakan ibu bapa akan membawa anak-anak untuk menonton filem dengan genre sebegini), namun aspek keseronokan menonton filem di layar besar, ditambah jalan cerita yang boleh dikatakan relatable dengan senario anak remaja dan anak yang sedang membesar, ternyata menjadi rencah paling menjadi untuk memancing penonton kecil ke pawagam.  

PENILAIAN: 4/5 BINTANG

P/S: Jika anda sukakan review ini, jangan lupa untuk kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah. Sokongan anda amatlah kami hargai dalam usaha memberikan lebih banyak informasi yang menarik untuk bacaan anda.

KOMEN ANDA

Previous Post Next Post