Kami telahpun menonton filem John Wick: Chapter 4 (2023), dan ini adalah review filem John Wick: Chapter 4 dari kami.


Dengan tempoh tayangan selama 170 minit, John Wick: Chapter 4 merupakan filem paling panjang dalam francais filem John Wick. Filem keempat francais filem John Wick ini menyambung pengakhiran filem John Wick: Chapter 3 – Parabellum (2019), selepas John Wick ditembak dan jatuh dari bumbung bangunan Hotel Continental selepas dikhianati Winston. John Wick kini berusaha menjejak High Table dalam usaha menjatuhkan organisasi jenayah berkenaan, yang meletakkan harga yang tinggi untuk sesiapa yang mampu menamatkan riwayatnya.

BERKAITAN: Review Filem John Wick: Chapter 3 - Parabellum (2019) - Penuh Aksi!

Untuk filem John Wick: Chapter 4 ini, selain perlu menyelamatkan diri dari pembunuh upahan yang tertarik dengan habuan lumayan diletakkan oleh High Table untuk memastikan dia dihapuskan, John Wick juga terpaksa berhadapan dengan Marquis Vincent de Gramont (lakonan cemerlang Bill SkarsgÃ¥rd), anggota High Table yang ditugaskan untuk menghapuskan John Wick dengan apa jua cara sekalipun. Disebabkan tidak henti-henti diburu, John Wick terpaksa menggunakan `cara lama´ iaitu pertarungan satu lawan satu dengan Marquis untuk menebus semula kehidupannya. Dapatkah John Wick mengalahkan Marquis, seterusnya menyelamatkan dirinya dari terus menerus diburu oleh High Table? Jangan lupa saksikan filem John Wick: Chapter 4 yang kini sedang ditayangkan di pawagam.

Francais filem John Wick tidak asing dengan aksi pertarungan yang mendebarkan, dan sudah tentulah John Wick: Chapter 4 juga tidak terlepas dari aksi pertarungan yang menarik. Aksi tembak-menembak, tempur bersenjata, tempur tanpa senjata, sehinggalah ke aksi kejar-mengejar dengan kenderaan, John Wick: Chapter 4 merupakan filem aksi yang lengkap rencah dan ramuannya. Dari awal hinggalah ke hujung, tak habis-habis dengan aksi pertarungan menarik dan membuat penonton terpaku di tempat duduk masing-masing. Ternyata pengarahnya bijak mengolak adegan aksi supaya menjadi menarik di mata penonton.

Filem John Wick: Chapter 4 memperkenalkan beberapa watak baharu dalam francais filem John Wick, seperti Donnie Yen (sebagai Caine) dan Hiroyuki Sanada (sebagai Koji, pengurus Hotel Continental Osaka) Menariknya, watak Donnie Yen sebagai pembunuh upahan buta bernama Caine telah menampilkan adegan pertarungan yang lain dari yang lain. Mesti penonton pun tertanya-tanya kan, apa hebatnya watak Caine yang buta tu untuk berlawan dengan John Wick? Boleh dikatakan setiap kali watak Caine muncul, kami ternantikan gaya pertarungannya dengan menggunakan tongkat (dan juga loceng pintu) untuk mengetahui lokasi pertarungan dan gerak geri musuh. Malah, watak Koji juga merupakan seorang pakar seni mempertahankan diri, dan mampu bertarung sendiri bersama pasukannya apabila hotelnya diserang oleh anggota High Table. Menarik bukan?

Sebenarnya, semakin lama mengikuti francais filem John Wick, semakin banyak persoalan bakal timbul. Ini termasuklah persoalan siapa yang berada di sebalik organisasi High Table yang mengawalselia dunia pembunuh upahan tersebut, yang dilihat sangat berkuasa. Mungkinkah ianya akan diolah dalam filem spin-off akan datang? Sama-sama kita nantikan.

Secara keseluruhannya, John Wick: Chapter 4 berjaya memberikan satu kepuasan kepada peminat dan penonton filem John Wick, terutamanya bagi kami yang telah mengikuti sejak filem pertama lagi. Ianya merupakan filem yang sarat dengan aksi dan pertarungan menarik. Lupakan plot dan jalan cerita kompleks, dialog jiwa-jiwa, ataupun bagaimana John Wick seolah-olah `kebal´ dan liat untuk mati walaupun berkali-kali ditembak, jatuh bangunan, dilanggar kenderaan dan lain-lain lagi. Nikmatilah keseronokan menonton filem John Wick: Chapter 4 ini sepenuhnya, kerana mungkin sukar lagi untuk francais lain mencapai apa yang telah dibawakan oleh filem John Wick ini.

PENILAIAN: 4.5/5 BINTANG

P/S: Jika anda sukakan review ini, jangan lupa untuk kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah. Sokongan anda amatlah kami hargai dalam usaha memberikan lebih banyak informasi yang menarik untuk bacaan anda.

KOMEN ANDA

Previous Post Next Post