Review Filem John Wick: Chapter 3 - Parabellum (2019)


Sejak mengikuti filem John Wick pertama, kami sememangnya tertarik pada filem aksi yang satu ini. Kami sememangnya antara penggemar filem lakonan Keanu Reeves sejak filem Speed lagi, dan apabila Reeves melakonkan watak utama dalam filem John Wick, sudah tentunya ia peluang yang tak boleh dilepaskan.


Premis filem John Wick berkisar kepada watak dengan nama yang sama, yang merupakan seorang pembunuh upahan terkemuka dan dianggap legenda, tetapi telah bersara setelah berkahwin dengan wanita pilihannya dan keluar dari dunia pembunuh upahan.


Merujuk pengakhiran filem terdahulu, John Wick kini dikategorikan sebagai excommunicado kerana melanggar larangan di Continental, dan kini mempunyai upahan bunuh sebanyak USD14 juta untuk semua pembunuh upahan yang berminat. Tanpa memerlukan banyak dialog, adegan filem John Wick: Chapter 3 - Parabellum penuh dengan aksi pertarungan dan kejar mengejar yang semakin hebat berbanding filem terdahulu.


Kejar mengejar menaiki motor dengan pedang samurai, aksi tembak-menembak dibantu anjing garang, pertarungan dalam tempat berdinding kaca, dan pertarungan sambil menaiki kuda adalah sebahagian dari aksi-aksi baru yang ditampilkan dalam filem ini. Mitos dunia pembunuh upahan dikuatkan lagi dengan pembangunan dunia pembunuh upahan yang kompleks, dengan susur galur asal dari zaman Mesir lagi. 


Filem John Wick: Chapter 3 - Parabellum sudah tentunya mendatangkan kebanggan kepada warga Indonesia, apatah lagi dua orang pelakon mereka, iaitu pelagak aksi Yayan Ruhian dan Cecep Arif Rahman ditampilkan dalam adegan utama filem ini dan bertarung dengan watak John Wick.  Yayan sebelum ini juga pernah muncul dalam filem Star Wars: The Force Awakens. Tambahan pula, mereka menggunakan senjata kerambit yang cukup sinonim dengan rumpun Nusantara. Mereka turut menuturkan beberapa baris dialog dalam bahasa Indonesia. Tambah membanggakan, Reeves turut membalas dialog mereka dengan ungkapan "Sampai jumpa". Agaknya, bila pula pelakon aksi negara kita akan sampai ke tahap ini? Pelakon Indonesia nampaknya lebih terampil dalam hal ini, apatah lagi Joe Taslm turut pernah muncul dalam Fast & Furious 6 dan turut menurutkan dialog "Hapuskan mereka!" dalam filem berkenaan.


Selain Reeves, filem John Wick: Chapter 3 - Parabellum turut dibintangi oleh Halle Berry, Anjelica Huston, Asia Kate Dillon, Mark Dacascos dan Jason Mantzoukas. Manakala Ian McShane, Common, Laurence Fishburne, Lance Reddick dan Ruby Rose membawakan kembali watak asal mereka dari filem terdahulu.

PENILAIAN: 4.7/5 BINTANG 

KOMEN ANDA

Previous Post Next Post