Kami telah diberikan kesempatan untuk menonton filem terbaharu, iaitu Heart Of The Beast (2026) bertempat di GSC 1 Utama. Terima kasih kepada United International Pictures (UIP) Malaysia atas undangan tersebut. Dan ini adalah review filem Heart Of The Beast dari kami.

Dibintangi Brad Pitt sebagai James Belmont, bekas anggota Special Forces, filem Heart Of The Beast mengisahkan perjuangannya bersama anjing tempur kesayangannya, Odin, selepas pesawat mereka terhempas di kawasan terpencil Alaska. Dari situ bermulalah perjalanan mereka untuk kembali ke kehidupan sebenar, sambil berdepan cuaca ekstrem, kecederaan dan ancaman hidupan liar.

Bagi aku, kekuatan utama Heart Of The Beast bukanlah pada ceritanya kerana kisah manusia terperangkap di kawasan liar dan cuba mencari jalan pulang bukan sesuatu yang baharu. Kita sudah boleh agak bentuk perjalanan yang bakal dilalui dan beberapa perkembangan penting juga mudah dijangka. Yang membuatkan filem ini masih menarik ialah hubungan James dan Odin. Filem tidak bergantung kepada dialog panjang untuk menerangkan hubungan mereka, sebaliknya banyak menggunakan tindakan dan interaksi kecil antara manusia dengan anjing tersebut. Brad Pitt pula bermain dengan gaya yang agak terkawal, sesuai dengan watak lelaki yang membawa trauma perang dan memilih untuk menyendiri. Tetapi dalam beberapa bahagian, unsur emosinya terasa sedikit dipaksa, terutama apabila filem mula terlalu jelas mahu memastikan penonton tersentuh.

Dari sudut tontonan di pawagam, landskap menjadi antara sebab utama Heart Of The Beast lebih sesuai ditonton di skrin besar. Kawasan hutan, gunung, tasik dan kawasan berpaya memberikan skala visual yang memang cantik, sementara beberapa babak survival mempunyai ketegangan yang cukup untuk membuatkan kita turut rasa tidak selesa melihat James dan Odin cuba meneruskan perjalanan.  Babak aksi juga diletakkan sesedap rasa, kerana filem ini sebenarnya lebih berminat kepada perjalanan dua watak utamanya daripada menjadi sebuah filem aksi tanpa henti.

Dan akhirnya, filem Heart Of The Beast bagi kami ialah sebuah filem survival yang baik tetapi tidak terlalu istimewa. Ia mempunyai visual yang menarik, persembahan Brad Pitt yang solid dan seekor anjing yang hampir mencuri keseluruhan filem. Cuma jalan ceritanya agak selamat dan beberapa elemen emosinya terlalu mudah dibaca. Kami suka pendekatan filem yang memilih untuk memperlahankan tempo dan memberikan ruang kepada hubungan James dan Odin, tetapi dalam masa yang sama kami rasa ada bahagian yang boleh dipadatkan supaya perjalanan mereka terasa lebih tajam. Dan kami suka dengan penamat filem ini yang tidak berakhir cliche seperti mana filem survival lain sebelum ini.

Kalau datang ke pawagam dengan harapan untuk melihat sebuah filem survival yang penuh aksi dari awal sampai akhir, mungkin Heart Of The Beast bukan apa yang dijangka. Tetapi kalau boleh menerima sebuah cerita tentang survival, trauma dan ikatan antara manusia dengan haiwan, filem ini masih memberikan pengalaman tontonan yang cukup memuaskan. Bukan jenis filem yang akan kami berfikir lama selepas keluar panggung, tetapi untuk tempoh 101 minit, ia berjaya membawa kami mengikuti perjalanan James dan Odin sehingga ke penghujung.

PENILAIAN: 4/5 BINTANG

P/S: Jika anda sukakan review ini, jangan lupa untuk kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah. Sokongan anda amatlah kami hargai dalam usaha memberikan lebih banyak informasi yang menarik untuk bacaan anda.

KOMEN ANDA

Terbaru Lebih lama