Kami telahpun menonton filem Spider-Man: Brand New Day (2026) di pawagam, dan ini adalah review filem Spider-Man: Brand New Day dari kami.

Spider-Man: Brand New Day membawa Peter Parker ke fasa yang lebih matang. Selepas kejadian dalam filem Spider-Man: No Way Home, Peter hidup sendirian apabila dunia sudah melupakan siapa dirinya. Dia masih menjalankan tanggungjawab sebagai Spider-Man, tetapi di sebalik topeng itu kita melihat seorang Peter yang semakin tertekan, kesunyian dan bergelut dengan persoalan tentang identiti serta arah hidupnya.

Apa yang aku suka, filem ini menjadikan konflik Peter lebih grounded. Masalahnya bukan lagi sekadar bagaimana hendak mengalahkan penjahat, tetapi bagaimana hendak mengawal emosi dan dirinya sendiri. Peter semakin mudah dipengaruhi kemarahan dan tekanan, seolah-olah segala kehilangan yang dialaminya mula memberi kesan terhadap cara dia menggunakan kuasanya. Kemunculan kemampuan organic webbing pula bukan sekadar perubahan fizikal kepada Spider-Man, tetapi turut menjadi sebahagian daripada proses Peter memahami bahawa semakin besar kuasa yang dimiliki, semakin besar keperluan untuk mengawalnya.

Kemudian muncul Jean Grey, lakonan Sadie Sink, yang menjadi antara elemen paling menarik dalam filem ini. Sebagai watak baharu dalam MCU, Jean pada awalnya masih kelihatan seperti seorang mutan yang belum benar-benar memahami potensinya. Tetapi semakin cerita berkembang, semakin jelas bahawa kuasanya juga sedang berkembang. Kemampuan telepati dan manipulasi mindanya semakin kuat sehingga memberikan gambaran bahawa Jean mungkin memiliki potensi yang jauh lebih besar dan berbahaya daripada apa yang kita lihat sekarang.

Menariknya, Jean tidak terus dipersembahkan sebagai Jean Grey versi X-Men yang kita sudah kenal. Dia masih bergelut dengan trauma, kehilangan dan kawalan terhadap kuasanya sendiri. Dalam aspek ini, Jean sebenarnya mempunyai persamaan dengan Peter. Kedua-duanya memiliki kuasa luar biasa, tetapi kedua-duanya sedang bergelut dengan masalah yang sangat manusiawi. Peter cuba mengawal kemarahan dan kesunyian, manakala Jean cuba memahami kuasa yang semakin sukar dikawalnya. Sebab itu konflik mereka terasa lebih daripada sekadar superhero lawan superhero.

Kemunculan Hulk dan Punisher pula memberikan dimensi tambahan kepada cerita. Hulk menjadi sebahagian daripada perjalanan Peter untuk memahami kawalan emosi dan kuasa, manakala Punisher membawa perspektif yang lebih keras tentang keadilan. Perbezaan pendekatan antara Spider-Man dan Punisher turut menguatkan persoalan utama filem ini — sejauh mana seseorang boleh menggunakan kuasa tanpa kehilangan sisi kemanusiaannya.

Cuma, kelemahan Spider-Man: Brand New Day ialah filem ini kadangkala cuba memuatkan terlalu banyak perkara dalam satu masa, seperti memuatkan beberapa watak hanya sebagai fan service. Ia mahu meneruskan kisah Peter selepas Spider-Man: No Way Home, memperkenalkan Jean Grey, membawa masuk Hulk dan Punisher, selain membuka ruang untuk perkembangan MCU yang lebih besar. Akibatnya, beberapa bahagian terasa seperti sedang menyediakan cerita untuk masa depan berbanding benar-benar menyelesaikan cerita filem ini.

Bagaimanapun, kekuatan utama filem masih terletak pada perkembangan Peter Parker. Dia bukan lagi budak sekolah yang baru belajar menjadi superhero. Dia sudah melalui kehilangan dan pengalaman yang mengubah dirinya. Filem ini menggunakan pengalaman itu untuk menunjukkan seorang Peter yang lebih matang, tetapi masih belum sepenuhnya tahu bagaimana hendak mengurus kehidupan sebagai manusia biasa dan Spider-Man pada masa yang sama.

Dan Jean Grey pula berpotensi menjadi antara pengenalan paling penting dalam filem ini. Kuasanya yang semakin berkembang memberi gambaran bahawa Marvel mungkin sedang membina sesuatu yang lebih besar untuk karakter tersebut. Kalau perkembangan Jean diteruskan dengan baik, dia boleh menjadi jauh lebih daripada sekadar watak sampingan dalam dunia Spider-Man.

Kesimpulannya, Spider-Man: Brand New Day bukan sekadar cerita tentang Spider-Man yang berdepan dengan ancaman baharu. Ia lebih kepada perjalanan Peter Parker untuk belajar mengawal dirinya selepas melalui terlalu banyak kehilangan. Dia mungkin semakin kuat sebagai Spider-Man, tetapi cabaran sebenarnya ialah menjadi Peter Parker yang lebih matang.

PENILAIAN: 4/5 BINTANG

P/S: Jika anda sukakan review ini, jangan lupa untuk kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah. Sokongan anda amatlah kami hargai dalam usaha memberikan lebih banyak informasi yang menarik untuk bacaan anda.

KOMEN ANDA

Terbaru Lebih lama