Setelah lebih 15 tahun berlalu selepas tayangan filem Rush Hour 3 di pawagam, kini filem keempat dalam francais filem kegemaran ramai itu dikhabarkan sedang dibangunkan! Perkara tersebut disahkan sendiri oleh aktor legenda, Jackie Chan di acara Festival Filem Red Sea. Beliau mengesahkan yang filem Rush Hour 4 kini dalam peringkat awal pembangunan, dan skrip filem berkenaan juga masih di peringkat perbincangan lagi. Aktor itu juga turut mendedahkan yang projek filem Rush Hour 4 itu juga telahpun mempunyai pengarah.

Cakap-cakap tentang filem Rush Hour 4 telahpun bertebaran sejak tahun 2012 lagi, ditambah pula apabila dua pelakon utamanya, Jackie Chan dan Chris Tucker yang kerap memberikan pengesahan untuk menyambung kembali watak ikonik lakonan mereka (sebagai Inspektor Lee dan Pegawai Polis Carter) ketika ditanya dalam sesi temubual. Walau bagaimanapun, perincian tentang filem keempat tersebut masih belum didedahkan.

Francais filem Rush Hour bermula dengan filem pertama pada tahun 1998, menemukan buat pertama kalinya Jackie Chan dan Chris Tucker dan secara tak sengaja menjadi gandingan yang serasi di layar perak. Susulan kejayaan filem pertama, dua lagi filem dihasilkan, iaitu Rush Hour 2 (2001) dan Rush Hour 3 (2007). Francais filem Rush Hour merekodkan kutipan keseluruhan sebanyak lebih USD840 juta.

KOMEN ANDA

Previous Post Next Post