Filem Night at the Museum: Kahmunrah Rises Again merupakan filem animasi yang ditayangkan di saluran Disney+ Hotstar mulai 9 Disember lalu, dan merupakan sambungan langsung kepada tiga filem terdahulu. Ianya mengisahkan tentang kejadian pelik yang berlaku di American Museum of Natural History setiap malam selepas terbenamnya matahari, di mana kesemua bahan pameran di muzium itu 'hidup'. Kali ini, watak utamanya berkisar kepada Nick Daley, seorang remaja yang masih bersekolah yang mengambil alih tugasan sebagai pengawal malam di muzium tersebut daripada bapanya. Beliau yang telah mahir dengan selok-belok dan kejadian-kejadian aneh di muzium itu merupakan pilihan terbaik menggantikan bapanya, yang terpaksa mengambil alih tugas di Muzium Tokyo. Walau bagaimanapun, malam pertama Nick bertugas di muzium tersebut telah bertukar menjadi kacau bilau apabila Kahmunrah yang gilakan kuasa telah terlepas, dan berazam untuk menguasai dunia. Kini terpulang kepada Nick, dengan dibantu oleh watak-watak dikenali seperti Jedediah, Octavius, Sacagawea, Terry, Laa dan Atilla untuk membantu menghentikan Kanmunrah sekaligus menyelamatkan dunia. 


Dengan tempoh tayangan selama 77 minit, filem Night at the Museum: Kahmunrah Rises Again dirasakan agak bercelaru dan rushing untuk ditamatkan. Premis kesinambungan tugasan bapa yang diambil-alih oleh anak itu seperti elemen cliche yang selalu dilihat dalam kebanyakan jalan cerita, namun filem animasi ini dirasakan tidak menyelami dengan lebih mendalam tentang dinamika perhubungan tersebut. 


Night at the Museum: Kahmunrah Rises Again menampilkan pelakon suara seperti Thomas Lennon (suara watak Teddy Roosevelt - menggantikan Robin Williams yang telah meninggal dunia), Jack Whitehall (suara Octavius), Steve Zahn (suara Jedediah), Kieran Sequoia (suara Sacagawea), Zachary Levi (suara Laaa), Alexander Salamat (suara Attila the Hun) dan Alice Isaaz (suara Joan of Arc). Walaupun tidaklah kelihatan pelik, namun kami merasakan adalah lebih baik sekiranya suara watak dari filem terdahulu digunakan, seperti Owen Wilson, Ben Stiller, Steve Coogan dan Ricky Gervais. Kemungkinan impaknya akan lebih terasa, dan lebih relate dengan penonton yang lebih berumur.


Filem Night at the Museum: Kahmunrah Rises Again mungkin sesuai untuk ditonton oleh kanak-kanak, lebih-lebih lagi ditayangkan di musim cuti sekolah ini, namun ianya tidak lebih dari itu. Agak sukar menjustifikasikan transisi tiga filem terdahulu (yang ditayangkan dalam versi live-action) tetapi untuk filem keempat ini, dijadikan filem animasi pula. Sejujurnya, tarikan untuk menonton filem animasi ini tidak begitu kuat, apatah lagi bagi mereka yang tidak melanggan Disney+ Hotstar. Ianya adalah filem animasi Disney yang biasa, namun lemah dari segi build up untuk memastikan penonton teruja menonton filem ini sehingga ke akhir tayangan.


Secara umumnya, filem animasi Night at the Museum: Kahmunrah Rises Again amat sesuai ditonton oleh kanak-kanak di musim cuti sekolah ini, dengan jalan cerita yang berunsurkan pengembaraan dan animasi yang menarik. Namun sekiranya Disney ingin menghidupkan semula francais ini, maka buanglah jauh-jauh pelan untuk menghasilkan filem animasi lagi, terutamanya untuk francais yang berjaya menghasilkan tiga buah filem live-action.

Terima kasih diucapkan kepada Disney+ Hotstar atas peluang menonton screener untuk filem ini lebih awal.

RATING SEMBANGFILEM: 3/5 BINTANG

KOMEN ANDA

Previous Post Next Post