Selepas hampir 5 bulan sejak tayangan rasmi filem Doctor Strange in the Multiverse of Madness, kini penulis skrip, Michael Waldron secara rasminya dipilih untuk satu lagi projek bersama Marvel Studios. Menurut portal Deadline, kali ini beliau terpilih untuk menyiapkan skrip filem Avengers: Secret Wars. Selain filem  Doctor Strange in the Multiverse of Madness, Waldron turut bertanggungjawab menghasilkan skrip untuk musim pertama siri Disney+ Loki.


BERKAITAN: Dua Filem Avengers Bakal Ditayangkan Pada 2025!

Avengers: Secret Wars merupakan filem Avengers ke-6, yang telah diumumkan di acara San Diego Comic-Con baru-baru ini. Ianya dijadualkan sebagai 'penutup' kepada MCU Phase 6 dan penutup kepada The Multiverse Saga. Peminat Marvel sememangnya menantikan bilakah Marvel akan menghasilkan filem adaptasi live-action berdasarkan siri komik ikonik tersebut, yang menyaksikan pelbagai watak hero dan villain Marvel 'diambil alih' oleh entiti bergelar The Beyonder, dan kesemua mereka bertarung dan beradu kekuatan masing-masing di sebuah planet bernama Battleworld.

Tidak seperti filem kelima Avengers iaitu Avengers: The Kang Dynasty, filem Avengers: Secret Wars ini masih belum mempunyai pengarah. Buat masa ini, filem Avengers: The Kang Dynasty dijadualkan untuk tayangan pada 7 Mei 2025, dan disusuli dengan filem Avengers: Secret Wars pada 7 November 2025. Ini bermakna dua filem Avengers akan ditayangkan pada tahun 2025!

Avengers: The Kang Dynasty diarahkan oleh pengarah filem Shang-Chi and the Legend of the Ten Rings, iaitu Destin Daniel Cretton. Beliau juga kini sedang bekerjasama dengan Marvel Studios untuk menghasilkan siri adaptasi live-action Wonder Man.


KOMEN ANDA

Previous Post Next Post