Marvel Studios secara rasminya telah menangguhkan filem Blade, dan tarikh tayangannya kini ditunda ke 6 September 2024. Satu laporan dari The Hollywood Reporter menyatakan yang produksi filem terbaharu Marvel Studios itu telah dihentikan sementara studio berkenaan mencari pengarah gantian untuk mengisi kekosongan kerusi yang ditinggalkan Bassam Tariq. 

BERKAITAN: Bassam Tariq Tarik Diri Sebagai Pengarah Filem Blade

Berita tersebut berkait langsung dengan pengumuman pengarah Bassam Tariq yang telah menarik diri dari mengarahkan filem tersebut, menyebabkan kini filem Blade tidak mempunyai pengarah. Dengan ketiadaan pengarah dan jadual penggambaran yang dijadualkan bermula November ini, Marvel Studios sebaliknya terpaksa mengambil keputusan untuk menangguhkan seketika filem Blade sehingga mendapat pengarah baharu. 

Kali ini, watak Blade akan dilakonkan oleh Mahershala Ali, yang sebelum ini telahpun meminjamkan suaranya untuk watak berkenaan dalam adegan end credit scene filem Eternals, ketika watak itu berbicara dengan watak Dane Whitman (lakonan Kit Harrington).

Ini merupakan kali kedua watak tersebut ditampilkan di layar perak, dengan watak Blade sebelum ini dilakonkan oleh Wesley Snipes dalam trilogi filem Blade diterbitkan oleh New Line Cinema, lama sebelum tertubuhnya Marvel Studios. Secara keseluruhannya, ketiga-tiga filem tersebut merekodkan kutipan sebanyak lebih USD400 juta. Watak Blade dicipta oleh Marv Wolfman dan Gene Colan sebagai salah satu watak sampingan dalam komik The Tomb of Dracula #10 yang diterbitkan pada Julai 1973.

KOMEN ANDA

Previous Post Next Post