Penghasilan filem Eternals merupakan satu percubaan berani Marvel Studios untuk menghasilkan sebuah filem dari watak komiknya yang kurang dikenali ramai berbanding Fantastic Four, X-Men dan Avengers. Kali ini, MCU mempertaruhkan halaman komik Eternals untuk diterjemahkan ke layar perak, menampilkan watak-watak adiwira yang terlalu asing bagi mereka yang bukanlah penggemar komik.


Marvel Studios cuba menampilkan pendekatan sama seperti mana filem Guardians of the Galaxy, yamg mana turut menampilkan watak-watak yang tidak dikenali ramai, tetapi berjaya menghasilkan filem dan watak yang digemari ramai peminat filem. Malangnya, kami rasakan Eternals tidak sampai ke tahap itu, apabila Marvel Studios kelihatan bergelut untuk menonjolkan kehebatan kesemua watak-watak dalam Eternals sehinggakan filem ini menjadi seakan tiada hala tuju, dan agak mengecewakan untuk sebuah filem MCU.


Eternals digambarkan sebagai bangsa superhuman dari dunia digelar Olympia, yang mempunyai kuasa luar biasa, dan dicipta oleh oleh entiti kosmik iaitu Arishem yang merupakan bangsa Celestial, dan dihantar ke Bumi untuk membantu manusia mengalahkan makhluk raksasa bergelar Deviants. Walaupun mereka mempunyai kuasa luar biasa, Eternals diarahkan tidak membantu atau terlibat dalam apa-apa jua konflik ketamadunan manusia yang tidak melibatkan Deviants, menyebabkan mereka memerhatikan sahaja sejarah tamadun manusia berkembang sejak 5,000 tahun dahulu hinggalah sekarang. Sehinggalah satu kejadian di masa lalu di mana mereka berjaya menghapuskan kesemua Deviants, mereka seterusnya membawa haluan masing-masing dan meneruskan hidup sementara menanti dipanggil balik oleh Arishem

BERKAITAN: Saksikan Trailer Filem Eternals - Bakal Ditayangkan November Ini

Sehingga satu kejadian apabila Deviants muncul kembali di London pada masa kini, menyebabkan Sersi (Gemma Chan) dan Sprite (Lia McHugh), bertemu semula dengan Ikaris (lakonan Richard Madden) bergabung tenaga untuk menewaskan Deviant tersebut. Dan penonton pun terus dibawa untuk menjejak semula watak-watak lain Eternals, di samping beberapa siri adegan flashback untuk menjelaskan watak-watak baharu tersebut. Berbanding Guardians of the Galaxy, penonton tidak dibebankan sangat dengan adegan flashback untuk memperkenalkan watak. Tetapi Eternals seolah-olah cuba 'menyumbat' seberapa banyak informasi yang ada berkaitan watak-watak baharu ini untuk menerangkan kepada penonton tentang motif dan naratif filem Eternals ini. Watak-watak lain seperti Ajak, Kingo, Phastos, Makkari, Druid, Gilgamesh dan Thena turut diperkenalkan selepas itu. Walaupn terdapat beberapa adegan yang memperlihatkan interaksi antara mereka, ianya tersangat longgar dan seolah-olah dalam keadaan 'dipaksa'. 


Untuk satu pasukan adiwira bertaraf superhuman, Eternals dilihat sebagai sebuah pasukan yang agak lemah. Mereka bergelut untuk menewaskan Deviants, malahan turut bergaduh dan bertengkar sesama sendiri. Plot filem ini terlalu lembab dan sememangnya mengecewakan untuk sebuah filem MCU. Malahan beberapa aspek komedi yang menjadi trademark filem MCU juga tak mampu menyelamatkan situasi bosan yang kami alami. Tambah mengejutkan apabila didedahkan salah satu Eternals tersebut sebenarnya yang menjadi pembelot. What the hell?

Dari aspek aksi, sememangnya Marvel cemerlang dalam aspek ini. Aksi-aksi pertarungan dan kesan khas yang ditampilkan sememangnya terbaik dan setanding dengan filem-filem MCU yang lain. Marvel Studios juga seharusnya dipuji untuk cuba keluar dari stereotype watak-watak filem adiwira dengan menampilkan adiwira OKU pendengaran pertama di layar perak, iaitu Makkari. Marvel sememangnya terkenal cuba menampilkan watak-watak adiwira yang mempunyai kepelbagaian latar belakang. Disebabkan kepelbagaian ini juga, filem ini turut menampilkan watak adiwira gay pertama di layar perak (adegan berkaitan telah cuba dipotong sebaiknya oleh Lembaga Penapisan Filem di Malaysia), dan ini juga menyebabkan beberapa negara telah menyekat tayangan filem Eternals di negara mereka.


Untuk menampilkan watak-watak baharu dengan latar belakang berbeza, sememangnya usaha Marvel Studios ini boleh dipuji. Namun, jalan cerita dan plot filem yang lemah sudah pastinya tidak mampu menyelamatkan sesebuah filem itu, walaupun ditonton oleh peminat filem mereka sendiri. Kami sendiri sememangnya merupakan peminat filem Marvel, namun filem Eternals ini mengecewakan kami dari banyak sudut.

Walaupun agak mengecewakan, kami berikan 4/5 bintang untuk filem Eternals hanya kerana disebabkan watak Karun yang berjaya menyelamatkan keadaan. Hasrat kami hanya nak berikan 3.5/5 bintang sebenarnya.

KOMEN ANDA

Previous Post Next Post