Warner Bros. telah mengeluarkan senarai rasmi tayangan untuk filem terbaharu mereka, Wonder Woman 1984 di seluruh dunia. Seperti mana diumumkan studio perfileman tersebut minggu lepas, sambungan filem Wonder Woman itu akan ditayangkan serentak di pawagam dan juga saluran penstriman HBO Max.


Negara yang paling awal dijadualkan untuk tayangan Wonder Woman 1984 ialah seperti Belgium, Bulgaria. Mesir, Perancis, Indonesia, Portugal, Afrika Selatan, Switzerland dan United Kingdom iaitu pada 16 Disember 2020.


Di Malaysia, Wonder Woman 1984 telah dijadualkan untuk tayangan pada 17 Disember 2020, sama dengan beberapa negara lain seperti Brazil, Costa Rica, Croatia, Denmark, Hong Kong, Mexico, Arab Saudi, Singapura, Taiwan dan Thailand.

Manakala di Amerika Syarikat, filem Wonder Woman 1984 hanya akan ditayangkan pada 25 Disember 2020 iaitu Hari Krismas. Ini bermakna seperti kebanyakan filem superhero terdahulu, Malaysia merupakan antara negara terawal yang akan dapat menyaksikan filem Wonder Woman 1984 di layar perak. 

Walau bagaimanapun, dengan pelaksanaan SOP pencegahan COVID-19 yang dilaksanakan di Malaysia kini, dan penutupan sementara operasi pawagam, masih belum jelas bagaimana kedudukan tayangan filem Wonder Woman 1984 nanti. Semenjak pengumuman penangguhan sementara operasi pawagam oleh Malaysian Assocoation of Film Exhibitors (MAFE) bermula November 2020, masih belum ada ketetapan bilakah pawagam akan beroperasi semula, atau adakah SOP terbaharu dari Kerajaan Malaysia untuk membenarkan pawagam beroperasi semula dengan mengikut SOP tertentu. Malah, kebanyakan negara juga tidak membenarkan pawagam beroperasi, ataupun tidak merancang untuk kembali beroperasi dalam masa terdekat akibat peningkatan kes COVID-19.


Patty Jenkins kembali ke kerusi pengarah filem Wonder Woman 1984 selepas mengarahkan filem Wonder Woman (2017), yang mencatatkan rekod tersendiri apabila berjaya mengutip lebih USD800 juta di seluruh dunia dan mencatatkan rekod sebagai antara filem DCEU yang paling berjaya.


KOMEN ANDA

Previous Post Next Post