Zack Snyder Menjawab Beberapa Soalan Berkaitan Filem Justice League Versi Snyder Cut


Setelah mengesahkan kewujudan filem Justice League versi Snyder Cut, para peminat kini teruja menantikan tayangan filem Justice League versi berkenaan, yang akan ditayangkan pada tahun hadapan. 


Terbaharu, beberapa hari lalu pengarah Zack Snyder telah menjawab beberapa persoalan peminat berkaitan filem Justice League versi Snyder Cut. Berikut adalah apa yang telah disahkan oleh beliau setakat ini:

  1. Rekaan asal watak Steppenwolf akan ditampilkan dalam filem tersebut.
  2. Zack Snyder kini sibuk menyiapkan kesan khas untuk filem berkenaan.
  3. Justice League versi Snyder Cut nanti akan menampilkan 100% versi asalnya tanpa campurtangan studio Warner Bros. 
  4. Teaser trailer berkemungkinan akan ditayangkan sebelum acara DC FanDome pada 22 Ogos ini.
  5. Justice League versi Snyder Cut akan menampilkan adegan Knightmare yang lebih banyak, melibatkan Darkseid dan Superman.
  6. Kevin Costner bakal membuat kemunculan cameo sebagai Jonathon Kent.

Selepas filem Batman v Superman: Dawn of Justice gagal mencatatkan kutipan memberangsangkan, studio perfileman Warner Bros. telah meminta Snyder 'meringankan' sedikit tona filem Justice League. Ini menyebabkan beliau terpaksa akur dengan kehendak studio berkenaan. Apabila Snyder terpaksa mengambil keputusan mengundurkan diri dari kerusi pengarah akibat isu keluarga yang melanda Zack Snyder pada ketika itu, tugas pengarahan diambil alih Joss Whedon (pengarah filem The Avengers yang diterbitkan oleh syarikat 'seteru', Marvel Studios). Sekali lagi, Warner Bro. campur tangan dan menyebabkan terhasillah filem Justice League yang menerima kritikan hebat dari para peminat komik DC keseluruhannya.

Filem Justice League versi Snyder Cut tersebut dilaporkan memerlukan sekitar USD20-30 juta lagi untuk menyiapkan proses suntingan kesan khas dan kesan visual untuk benar-benar menepati kehendak asal Zack Snyder tanpa campur tangan studio. 

Justice League dibintangi Ben Affleck sebagai Batman, Henry Cavill sebagai Superman, Gal Gadot sebagai Wonder Woman, Jason Momoa sebagai Aquaman, Ezra Miller sebagai The Flash, Ray Fisher sebagai Cyborg, Willem Dafoe sebagai Nuidis Vulko, Jesse Eisenberg sebagai Lex Luthor, Jeremy Irons sebagai Alfred Pennyworth, Diane Lane sebagai Martha Kent, Connie Nielsen sebagai Ratu Hippolyta, J.K. Simmons sebagai Komisioner Gordon dan Amy Adams sebagai Lois Lane.

Justice League telah ditayangkan pada November 2017, namun menerima kritikan yang bercampur baur dari para pengkritik dan peminat filem. Walaupun dipuji dari aspek aksi dan kesan khas, namun gaya pengarahan Snyder dan Whedon dapat dilihat dengan ketara dalam beberapa babak filem berkenaan. Apatah lagi ramai peminat melihatkan Whedon terbawa-bawakan gaya pengarahan filem 'seteru' atau saingan kepada Justice League, iaitu Avengers, menyebabkan jalan cerita Justice League yang tidak konsisten. Dengan bajet USD$300 juta, filem Justice League tidak mendatangkan keuntungan yang diharapkan, meskipun mengutip sebanyak USD658 juta.

KOMEN ANDA

Previous Post Next Post