Dalam satu artikel oleh BERNAMA, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dilaporkan akan meneliti dan memperhalusi Lesen Pemameran Filem (EF) bagi sektor pawagam pandu masuk, seperti yang diumumkan oleh kerajaan baru-baru ini.


Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Idham Ahmad Nadzri, perkara tersebut perlu dilakukan seiring pengamalan normal baharu susulan pandemik Covid-19 bagi menjaga keselamatan kandungan filem yang bakal ditayangkan agar tidak menjadi 'mangsa' cetak rompak.

Memetik kenyataan Ahmad Idham, beliau berkata:

"Pawagam pandu masuk adalah di bawah sektor pemameran, mungkin ia wujud disebabkan normal baharu sekali gus menjadi satu trend. Faktor keselamatan adalah kriteria penting yang dititikberatkan kerana kita kena jaga sektor pengeluaran. Untuk itu, kita mungkin akan menggubal atau melakukan beberapa penambahbaikan terhadap lesen berkenaan untuk disesuaikan dengan jenis tayangan sebegini. Namun, sehingga hari ini, kita masih belum ada keputusan muktamad".

Kerajaan telah mengumumkan pada 9 Julai lalu untuk membenarkan permohonan aktiviti pawagam pandu masuk tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, termasuklah pengunjung mesti berada di dalam kenderaan masing-masing pada sepanjang masa, penjualan makanan dibuat secara dalam talian dan urusan mengambil makanan selepas pesanan dibuat secara pandu lalu.

Bagi tujuan itu, Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) bersama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan memperincikan SOP berkaitan aktiviti ini bagi rujukan semua pengendali yang terbabit.

Ahmad Idham berkata, pengawalan seperti itu perlu dibuat supaya tidak bercanggah dengan agenda Finas untuk memperkasakan industri perfileman di Malaysia.

Mengulas lanjut, beliau membayangkan konsep pawagam pandu masuk ini sebagai sesuatu yang baharu dan segar, sekali gus mewujudkan platform hiburan yang lebih selamat untuk seisi keluarga. WWalau bagaiamanapun, ianya mungkin sedikit mencabar memandangkan negara kita beriklim khatulistiwa yang panas dan lembap sepanjang tahun, dan sudah semestinya akan menimbulkan kesukaran dalam memilih lokasi yang bersesuaian.

Post a Comment

Previous Post Next Post