Setelah hampir lima bulan suami tercinta meninggal dunia, penyanyi terkenal Indonesia, Bunga Citra Lestari atau BCL muncul dengan single baharu berjudul 12 Tahun Terindah yang didedikasikan khusus buat arwah suaminya, pelakon Ashraf Sinclair.

Lagu 12 Tahun Terindah merupakan ciptaan bersama BCL dan Ifa Fachir, dan merupakan terjemahan perasaan dan curahan hati bintang jelita itu selepas pemergian Allahyarham Ashraf Sinclair yang meninggal dunia akibat serangan jantung, Februari lalu.


Menurut BCL, "Lagu ini menceritakan mengenai kebingungan saya menghadapi hari-hari baharu. Di saat hidup berubah dalam waktu yang begitu cepat, tanpa peringatan dan mahu tidak mahu, harus tetap dijalani. "Pada momen kehidupan ini, saya berusaha melihat lagi tahun-tahun yang sudah saya lalui bersama Ashraf. Saya bersyukur kerana Tuhan memberikan saya 12 tahun terindah bersama Ashraf. Melalui suka dan duka dalam cinta, yang membuat saya percaya kalau cinta itu ada".

Sebelum terhasilnya single 12 Tahun Terindah, penyanyi berusia 37 tahun ini sering meluahkan rasa sedih dan kerinduannya terhadap arwah suami melalui video berjudul Dear Love sebanyak dua episod yang disiarkan di laman YouTube rasmi, It's Me BCL.

Apa yang menarik, lagu itu bukan sahaja menyaksikan buat kali pertama pelakon filem Habibie & Ainun ini menulis lirik, malah, mengamalkan normal baharu kehidupan apabila merakamkan single berkenaan di studio yang dibina di rumahnya.

Menurut BCL lagi, "Banyak perkara baharu yang saya pelajari ketika menghasilkan single ini. Bermula dengan proses penciptaan lagu, merakam demo, perbincangan kreatif hinggalah proses memasukkan vokal. Semuanya saya lakukan sendiri di studio yang dibina di rumah. Pandemik COVID-19 yang melanda dunia ketika ini tidak akan menghentikan semangat saya untuk kembali berkarya,".

Allahyarham Ashraf Sinclair meninggal seorang isteri, BCL dan seorang anak lelaki, Noah Aidan Sinclair ini.

Video muzik single 12 Tahun Terindah boleh ditonton di saluran YouTube mulai hari ini dan akan dilancarkan di semua pelantar digital pada Jumaat ini. - Berita Harian

KOMEN ANDA

Previous Post Next Post