Ashraf Sinclair Dilaporkan Meninggal Dunia Akibat Serangan Jantung

Selepas berita kematian pelawak terkenal, Syed Umar Mokhtar bin Syed Mohd Redzuan atau lebih terkenal dengan panggilan Abam Bocey pada Isnin lalu, kini satu lagi berita mengejutkan telah diterima pagi ini. Astro Awani melaporkan yang pelakon terkenal, Ashraf Sinclair telah meninggal dunia pada awal pagi Selasa akibat serangan jantung di Jakarta, Indonesia.


Menurut laporan KompasTV, kematian Ashraf, 40, disahkan pengurus Bunga Citra Lestari, Doddy menerusi perbualan aplikasi WhatsApp.

"Iya (benar meninggal). Serangan jantung," katanya.

Jenazah suami kepada Bunga Citra Lestari itu masih berada di Rumah Sakit MMC Kuningan.

Susulan berita menyayat hati itu, Instagram peribadi milik Ashraf Sinclair dan isterinya Bunga Citra Lestari dibanjiri ucapan takziah. Rata-rata para peminat menzahirkan rasa terkejut dengan kematian mengejut pelakon tersebut yang kelihatan sentiasa aktif dan menjaga kesihatannya.

Ashraf atau nama sebenarnya Ashraf Daniel Mohammed Sinclair lahir di London, England pada 18 September 1979.

Beliau mengahwini penyanyi Bunga Citra Lestari pada 2008. Hasil pernikahan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki yang diberi nama Noah Sinclair.

Salam takziah diucapkan dari kami di SembangFilem.

KOMEN ANDA

Previous Post Next Post