Teka-teki mengenai status rumah tangga pasangan selebriti, Sharnaaz Ahmad dan Noor Nabila akhir­nya terjawab apabila pelakon lelaki itu mengesahkan mereka telah bercerai secara hakam di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan pada 9 Julai lalu.

Perkara tersebut didedahkan melalui satu hantaran rakaman video di Instagram milik Sharnaaz semalam.

“Ya, memang saya dan Nabila sudah pun berpisah secara baik, ketentuan oleh hakam baru-baru ini.

“Tetapi saya dan Nabila tiada masalah. Kami berkawan secara baik. Berpisah pun cara baik. Bermaafan, tetapi hal jodoh itu semua rahsia Allah.

“Kami tidak berdendam antara satu sama lain. Mungkin ini semua takdir Allah. Tiada siapa kahwin ingin berpisah. Kita manusia kita merancang Tuhan menentukan. Mungkin saya bukan suami yang baik, namun satu benda yang saya tidak akan memungkiri iaitu tanggungjawab menjadi seorang bapa yang baik kepada anak saya,” kata Sharnaaz, 35, dalam satu video berdurasi lebih empat minit itu.

Tambah Sharnaaz atau nama lengkapnya, Sharnaaz Ahmad Basir Ahmad, kebahagian anaknya, Jebat Jayden adalah keutamaan buat dirinya sebagai seorang bapa.

“Kebahagian nombor satu adalah berkenaan Jebat. Saya tidak akan pernah buat dia rasa dia sudah kehilangan bapa walaupun perkara ini sudah berlaku.

“Sakit macam mana pun, saya tidak akan pernah lupa untuk bertemu dengannya. Insya-Allah, saya akan beri yang terbaik untuk Jebat,” ujarnya.

Sementara itu, Nabila, 36, menerima keputusan perce­raian dengan hati terbuka dan akur pada ketentuan Ilahi.

“Kami anggap jodoh kami bersama tidak panjang dan tidak pernah terfikir bahawa jodoh kami berakhir setakat ini sahaja,” katanya kepada Kosmo!.

Tegas Nabila, perkara yang paling penting selepas ini adalah memastikan anak mereka tidak terkesan dengan perce­raian yang berlaku.

“Apa pun saya akan cuba jadi ibu yang terbaik buat Jayden dan sangat berterima kasih kepada Sharnaaz kerana menjadi ayah yang baik sebab hampir setiap hari dia akan datang untuk melawat Jayden. Itu sudah membuatkan saya cukup gembira,” katanya.

Mengulas mengenai hubung­annya dengan Sharnaaz, mereka tidak akan bermusuhan sebaliknya kekal berkawan dan boleh saling bertukar pendapat.

“Kami berkawan dan banyak bertukar-tukar pandangan de­ngannya. Kami tak bermusuh. Ketika Sharnaaz datang berjumpa Jayden, saya akan duduk sekali serta melayannya seperti kawan.

Terdahulu, selepas pasang­an itu gagal mencari kesepakatan, mahkamah menerusi Seksyen 47 (14) dan Seksyen 48 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 mempunyai kuasa melantik dalam kalangan saudara-mara terdekat kedua-dua pihak iaitu dua penimbang tara (hakam) yang mempunyai maklumat berkaitan isu rumah tangga pemohon dan defendan.

Sharnaaz dan Nabila, 36, berkahwin pada 31 Mac 2017 di sebuah hotel di Petaling Jaya, Selangor.

Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Jebat Jayden yang bakal berusia dua tahun Ogos ini. - KOSMO

KOMEN ANDA

Previous Post Next Post