Tom Cruise Bekerjasama Dengan NASA Untuk Filem Berkaitan Angkasa Lepas


Bukan, ini bukanlah satu lagi scam melibatkan NASA yang tular baru-baru ini. Selepas bekerjasama dengan syarikat SpaceX milik Elon Musk untuk sebuah filem pengembaraan angkasa lepas, kini dilaporkan yang Tom Cruise bakal bekerjasama pula dengan NASA untuk menghasilkan sebuah filem berlatarkan International Space Station (ISS). Berita berkenaan dikongsikan sendiri oleh Penyelaras NASA, Jim Bridenstine di laman Twitter peribadinya.



Masih belum jelas samada filem melibatkan Tom Cruise dan NASA ini adalah filem yang sama seperti mana projek filem bersama SpaceX. Walau bagaimanapun, Elon Musk ada membalas komen di Twitter peribadi Bridenstine dengan balasan “Should be a lot of fun!”, memberikan bayangan yang berkemungkinan NASA dan SpaceX bakal bekerjasama untuk filem berkenaan!

Tom Cruise sebenarnya tidaklah asing dalam filem berlatarkan angkasa lepas, kerana sebelum ini pernah muncul dalam filem Oblivion. Selain itu, beliau sememangnya sinonim dengan filem aksi, terutamanya francais filem Mission: Impossible, yang mengangkat namanya selaku pelakon yang melakonkan aksi lagak ngeri sendiri, mengangkat namanya sebaris dengan pelakon aksi terkemuka seperti Jackie Chan yang juga dikenali kerana meletakkan nyawanya sebagai galang ganti untuk menghasilkan aksi hebat yang mendebarkan. 


Filem keenam dalam francais Mission: Impossible, Fallout, menyaksikan Tom Cruise melakonkan aksi bergayut di luar helikopter, selain menerbangkan sendiri helikopter berkenaan di lapangan glasier Siachen, Karakoram, banjaran Himalaya dan melakukan sendiri aksi lompatan High Altitude Low Opening (HALO). Filem Mission: Impossible - Fallout juga terpaksa dihentikan penggambaran selama 2 bulan, akibat kecederaan dialami Tom Cruise ketika melakonkan aksi lompatan dari bumbung ke bumbung sehingga menyebabkan pergelangan kakinya patah. 

KOMEN ANDA

Previous Post Next Post