Tarikh Baharu Tayangan Filem John Wick Chapter 4 Diumumkan!


Sejak mengikuti filem John Wick pertama, kami sememangnya tertarik pada filem aksi yang satu ini. Kami sememangnya antara penggemar filem lakonan Keanu Reeves sejak filem Speed lagi, dan apabila Reeves melakonkan watak utama dalam filem John Wick, sudah tentunya ia peluang yang tak boleh dilepaskan. Ketika filem John Wick Chapter 3 - Parabellum masih ditayangkan di pawagam pun, studio perfileman Lionsgate terus mengumumkan yang filem John Wick Chapter 4 akan dihasilkan!


Pada awalnya, filem John Wick 4 dijadualkan untuk tayangan pada hari yang sama dengan satu lagi filem lakonan Keanu iaitu The Matrix 4 pada 21 Mei 2021, sehinggakan ada di kalangan peminat yang menggelarkannya sebagai Keanu Day. Tetapi kini, tarikh tayangan John Wick 4 telah dijadualkan semula kepada 27 Mei 2022.  


Pengarah filem John Wick 4, Chad Stahelski sebelum ini mendedahkan yang Keanu baharu sahaja memulakan proses penggambaran filem The Matrix 4 selama 4 minggu sebelum ditangguhkan akibat wabak COVID-19. Sudah tentulah Keanu perlu menyelesaikan penggambaran filem tersebut terlebih dahulu sebelum memberikan komitmennya terhadap filem John Wick Chapter 4 pula.


Adakah tarikh tayangan The Matrix 4 juga akan dianjakkan ke 27 Mei 2022? Sama-sama kita nantikan.

KOMEN ANDA

Previous Post Next Post