Pengarah Toy Story 4 Bakal Menghasilkan Filem Animasi Transformers?

Pada tahun 1986, filem Transformers: The Movie buat pertama kalinya membawakan watak dari barisan permainan Hasbro, “Robots in Disguise” ke layar perak. Kini, selepas hampir 35 tahun kemudian, satu filem animasi terbaharu Transformers dilaporkan sedang dalam pembikinan! Paramount Pictures dilaporkan telah menggunakan khidmat pengarah filem Toy Story 4, Josh Cooley untuk mengarahkan filem animasi tersebut.



Filem animasi terbaharu Transformers imi dikhabarkan bakal menelusuri sejarah peperangan antara Autobots dan Decepticons di planet Cybertron. Ia juga akan merungkai hubungan kompleks antara watak protagonis utama, Optimus Prime dan antagonis utama, Megatron, masing-masing mengetuai pasukan Autobots dan Decepticons.


Jika ada menjangkakan yang filem animasi Transformers ini akan berkait dengan filem-filem aksi-hidup Transformers terdahulu dan filem spinoff Bumblebee, jangkaan anda pasti meleset. Ini kerana Deadline melaporkan yang projek filem terbaharu Transformers tersebut dipercepatkan demi menjaga penjarakan sosial akibat penularan wabak COVID-19. Filem aksi-hidup sudah pastinya melibatkan ramai tenaga kerja yang akan berkumpul dalam satu-satu tempat, jadi pendekatan menghasilkan filem animasi dilihat lebih sesuai untuk keadaan sekarang ini. 

Filem animasi Transformers ini akan diterbitkan oleh Hasbro/eOne bersama-sama Paramount.

KOMEN ANDA

Previous Post Next Post