Paramount Dilaporkan Sedang Merancang Untuk Menghasilkan Dua Filem Terbaharu Transformers

Paramount kini dilaporkan sedang merancang untuk menghasilkan dua filem terbaharu Transformers, termasuk satu filem yang dikhabarkan merupakan spinoff kepada filem solo Bumblebee.


Diinspirasikan melalui siri kartun dan permainan dengan nama yang sama, filem aksi-hidup Transformers pertama ditayangkan pada tahun 2007, yang diarahkan oleh Michael Bay dan dibintangi oleh Shia LaBeouf dan Megan Fox. Seterusnya Bay telah mengarahkan beberapa lagi filem Transformers, dengan filem terakhir arahannya adalah Transformers: The Last Knight yang ditayangkan pada tahun 2017 (dan mencatatkan kutipan dan kritikan yang teruk - kami sendiri pun tak sanggup menontonnya sehingga habis). Disebabkan kegagalan itu, filem yang sepatutnya memulakan apa yang dianggap sebagai Transformers cinematic universe akhirnya hanya tinggal angan-angan sahaja.  Selepas itu, Paramount telah menerbitkan filem Bumblebee, berlatarkan tema tahun 80-an yang mendapat kritikan baik daripada peminat filem (malah kami juga menyukai filem Bumblebee tersebut), walaupun kutipan tidaklah seperti yang diharapkan.

BERKAITAN: Review Filem Bumblebee (2018) - Filem Transformers Sebenar!

Variety melaporkan yang Paramount kini menrancang untuk menghasilkan 2 lagi filem baharu Transformers, berkemungkinn bakal dihasilkan serentak, dengan skripnya digarap oleh James Vanderbilt dan Joby Harold. Maklumat yang diperolehi masih lagi tidak menyeluruh, namun dimaklumkan yang satu filem akan mengambil tempat selari dengan dunia filem Bumblebee, manakala satu filem lagi merupakan filem reboot penuh. Berkemungkinan juga kedua-dua filem ini akan menampilkan barisan pelakon baharu berbanding filem sebelum ini.

Nantikan perkembangan selanjutnya dari kami.

KOMEN ANDA

Previous Post Next Post