Taman Tema MAPS Di Ipoh Ditutup Berkuatkuasa Hari Ini

Harian Metro telah melaporkan yang taman tema Movie Animation Park Studios (MAPS) di Ipoh yang dibangunkan dengan kos RM520 juta, telah mula ditutup berkuatkuasa mulai hari ini sehingga ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.


Notis penutupan itu dikeluarkan oleh The Receiver and Manager Animation Theme Park Sdn Bhd (ATP), daripada Messrs Ernst & Young.

Pada 4 Disember lalu, media tempatan melaporkan bahawa Affin Investment melantik Datuk Duar Tuan Kiat dari Messrs Ernst & Young sebagai penerima dan pengurus hartanah milik ATP, yang juga merupakan operator kepada MAPS.

Pengumuman penutupan taman tema MAPS berkenaan sudah tentunya berbeza dengan apa yang diumumkan oleh kerajaan negeri Perak sebelum ini, yang mana pada 10 Disember 2019 mengumumkan yang taman tema berkenaan tidak akan ditutup walaupun gagal membayar balik bayaran prinsipal berjumlah RM25.7 juta kepada Affin Hwang Investment Bank Bhd (Affin Investment).

Memetik kenyataan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu seperti mana dilaporkan oleh BERNAMA, beliau berkata, Perak Corporation Berhad (PCB) dan anak syarikatnya Animation Theme Park Sdn Bhd (ATP) akan berbincang dengan pihak bank berhubung perkara itu.

MAPS yang dibina dengan kos RM520 juta dibuka secara rasmi pada Jun 2017.


KOMEN ANDA

Previous Post Next Post