Priyanka Chopra Dilaporkan Bakal Membintangi Filem The Matrix 4

Dari hari ke hari, semakin rancak berita berkaitan filem The Matrix 4. Rasanya baharu sahaja kami berkongsikan kisah filem The Matrix 4, dan kini laporan terbaharu dari Variety menyatakan yang Priyanka Chopra Jonas dalam perbincangan akhir untuk muncul dalam filem terbaharu arahan Lana Wachowski itu!


Masih belum didedahkan mahupun diperincikan apakah watak yang bakal dilakonkannya dalam filem The Matrix 4 terbitan Warner Bros. itu. Menurut satu lagi laporan oleh HN Entertainment, filem berkenaan akan memulakan penggambaran pada bulan hadapan di San Francisco, dan dijangka mengambil masa dari 5 Februari hingga 1 Mac.

BERKAITAN: Mungkinkah Ejen Smith Muncul Semula Dalam Filem The Matrix 4?

Jika benar Chopra akan tampil dalam filem The Matrix 4, ini bermakna beliau akan turut serta bersama-sama barisan pelakon seperti Keanu Reeves, Carrie-Anne Moss, Jada Pinkett Smith, Jessica Henwick, Neil Patrick Harris, Toby Onwumere, dan Yahya Abdul-Mateen II yang telahpun disahkan untuk filem berkenaan. Lambert Wilson juga turut dijangka menyambung kembali wataknya sebagai penjahat bergelar Merovingian.

BERKAITAN: Filem The Matrix 4 Dan John Wick 4 Berkongsi Tarikh Tayangan Yang Sama?

Tiga filem The Matrix terdahulu —The Matrix (1999), The Matrix Reloaded (2003) dan The Matrix Revolutions (2003)— mencatatkan kutipan keseluruhan sebanyak USD1.6 billion di seluruh dunia. Filem The Matrix Revolutions juga merupakan filem pertama yang ditayangkan serentak di negara-negara utama di seluruh dunia.

KOMEN ANDA

Previous Post Next Post