Trailer Filem Fast & Furious 9 Diperlihatkan - Han Kembali!


Trailer pertama filem terbaharu dalam francais filem Fast & Furious, iaitu Fast & Furious 9 kini telahpun diperlihatkan! Satu acara khas beserta konsert telah diadakan oleh Universal Studios untuk melancarkan trailer berkenaan. Saksikan trailer filem Fast & Furious 9 di bawah :



Daripada trailer Fast & Furious 9 ini, John Cena melakonkan watak Jakob Toretto, yang merupakan adik kepada Dom dan kini bekerja dengan Cipher. Malahan di akhir trailer tersebut, terdapat kejutan di mana watak Han (lakonan Sung Kang) yang sebelum ini menemui ajal di tangan Deckard Shaw di penghujung filem The Fast & The Furious: Tokyo Drift, tiba-tiba muncul pula! Apakah jawapan kepada teka-teki watak beliau? Sama-sama kita nantikan.

BERKAITAN: Saksikan Trailer Terbaru Filem Hobbs And Shaw - Spinoff Kepada Watak Dari Filem Fast & Furious

Pada awalnya, filem Fast & Furious 9 telah dijadualkan untuk tayangan pada 19 April tahun lepas, namun telah ditunda untuk memberi laluan kepada filem spin-off pertama dalam francais tersebut, iaitu filem Hobbs & Shaw yang telah ditayangkan pada Ogos tahun lepas. Oleh itu, filem Fast & Furious 9 telah dijadualkan semula, dengan tarikh baru untuk tayangan adalah pada 22 Mei 2020.

Justin Lin kembali ke kerusi pengarah filem ini selepas mengarahkan filem ke-3 hingga ke-6 Fast & Furious, iaitu The Fast & The Furious: Tokyo Drift, Fast & Furious, Fast 5 dan Fast & Furious 6.

Filem Fast & Furious 9 menampilkan kembali pelakon-pelakon asal seperti Vin Diesel sebagai Dominic Toretto, Michelle Rodriguez sebagai Letty Ortiz, Jordana Brewster sebagai Mia Toretto, Tyrese Gibson sebagai Roman Pierce dan Ludacris sebagai Tej Parker, di samping turut menampilkan Nathalie Emmanuel sebagai Ramsey, Helen Mirren sebagai Magdalene Shaw dan Charlize Theron yang kembali dengan watak Cipher dari filem kelapan, The Fate of the Furious.

KOMEN ANDA

Previous Post Next Post