Sah! Sambungan Filem Sonic The Hedgehog Akan Dihasilkan

Awal tahun ini, kita semua dapat menyaksikan filem adaptasi permainan video, Sonic the Hedgehog di layar perak. Permainan video ikonik dari Sega itu mendapat sambutan yang menggalakkan daripada peminat filem, jadi tidaklah menghairankan apabila Paramount Pictures mengesahkan yang mereka dalam perancangan menghasilkan filem Sonic the Hedgehog 2 pula!



Walaupun pengumuman ini masih terlalu awal dan belum ada lagi pengumuman pelakon yang akan tampil dalam filem sambungan tersebut, namun pengarahnya, Jeff Fowler dijangka akan kembali mengarahkan sambungan filem Sonic the Hedgehog.

Pada awalnya, filem Sonic the Hedgehog telah dijadualkan untuk tayangan di pawagam pada November 2019, namun selepas komen dan kritikan dari penonton awal yang mempertikaikan arah tuju rekabentuk dan perincian Sonic dalam trailer terdahulu, menyebabkan Paramount terpaksa menunda tarikh tayangan kepada 14 Februari 2020 dan merekabentuk semula rupa dan penampilan Sonic supaya lebih hampir menyerupai Sonic dalam permainan video. Strategi ini ternyata berhasil, apabila Sonic the Hedgehog merekodkan kutipan sebanyak USD306 juta berbanding kos penbikinan sebanyak USD95 juta.

Filem Sonic the Hedgehog mengisahkan tentang Tom Wachowski, seorang anggota polis di kawasan luar bandar di Green Hills, yang mengambil keputusan untuk membantu membebaskan Sonic daripada entiti kerajaan yang cuba memerangkapnya. Filem Sonic the Hedgehog diarahkan oleh Jeff Fowler dan diterbitkan oleh Tim Miller (Terminator: Dark Fate).


Barisan pelakon filem Sonic the Hedgehog termasuklah Jim Carrey sebagai Dr. Robotnik/ Eggman dan James Marsden sebagai Wachowski, di samping Adam Pally, Tika Sumpter dan Natasha Rothwell. Ben Schwartz memberikan suara untuk watak Sonic dalam filem tersebut.

KOMEN ANDA

Previous Post Next Post