Ant-Man 3 Bakal Dihasilkan - Peyton Reed Kembali Ke Kerusi Pengarah

Marvel Studios dilaporkan telah hampir memuktamadkan perjanjian dengan pengarah, Peyton Reed untuk kembali ke kerusi pengarah bagi filem Ant-Man 3.


The Hollywood Reporter melaporkan yang Peyton Reed akan kembali sebagai pengarah filem Ant-Man 3, menjadikannya pengarah filem ketiga yang diambil semula oleh Marvel Studios untuk melengkapkan trilogi filem mereka - selepas James Gunn (Guardians of the Galaxy) dan Jon Watts (Spider-Man).

Sinopsis filem berkenaan masih terlalu baharu untuk didedahkan, namun dijangkakan yang barisan pelakon utama seperti Paul Rudd, Evangeline Lilly dan Michael Douglas akan menyambung kembali watak mereka dalam dua filem Ant-Man terdahulu. Ada kemungkinan juga yang Emma Fuhrmann, yang melakonkan watak Cassie Lang (remaja) dalam filem Avengers: Endgame turut akan muncul juga dalam filem Ant-Man 3 nanti.

Produksi dijangka akan bermula pada penghujung 2020 atau awal 2021, dengan tarikh tayangan dijangkakan pada tahun 2022. Penggambaran juga dijangka bermula selepas sahaja filem arahan Scott Derrickson, Doctor Strange in the Multiverse of Madness, dan filem arahan Taika Waititi, Thor: Love and Thunder selesai penggambaran.

Dalam komik, Cassie Lang turut menjadi superheroine apabila turut mempunyai kuasa menukar saiz, dan menggunakan nama panggilan Stature dan Stinger.

KOMEN ANDA

Previous Post Next Post