Spider-Man: Into The Spider-Verse Memenangi Anugerah Oscar Untuk Filem Animasi Terbaik

Filem Spider-Man: Into the Spider-Verse yang ditayangkan tahun lepas merupakan percubaan berani Sony, dengan mengenepikan watak Peter Parker dan menampilkan Miles Morales (lakon suara oleh Shameik Moore) sebagai watak utama filem animasi tersebut. Percaturan ini ternyata amat berbaloi, apabila filem Spider-Man: Into the Spider-Verse dinobatkan sebagai Filem Animasi Terbaik dan memenangi Anugerah Oscar!


Filem Spider-Man: Into the Spider-Verse telah mengungguli carta kutipan bulan Disember mendapat pujian hampir di seluruh dunia dengan keupayaannya untuk memberikan dimensi baru terhadap filem animasi dengan gaya penceritaan, watak yang diketengahkan, dan soundtrack yang dimainkan, menjadikan ramai yang menganggap filem tersebut sebagai filem animasi terbaik tahun lepas. Kini, terbukti bahawa pujian tersebut bukanlah kosong, sebaliknya dibuktikan apabila filem Spider-Man: Into the Spider-Verse dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Oscar untuk kategori Filem Animasi Terbaik, mengatasi calon-calon lain seperti Incredibles 2, Isle of Dogs, Mirai, dan Ralph Breaks the Internet.

Selain memenangi Anugerah Oscar dan Anugerah Golden Globe, filem Spider-Man: Into the Spider-Verse turut memenangi anugerah sama di majlis Anugerah BAFTA dan Anugerah Annie. Selain anugerah-anugerah tersebut, filem Spider-Man: Into the Spider-Verse turut mencatatkan kutipan sebanyak lebih USD350 juta keseluruhannya, memberikan Sony keyakinan untuk bergerak ke depan dan mengembangkan lagi universe filem Spider-Man dalam filem akan datang mereka. 

Selain merancang sambungan untuk filem Spider-Man: Into the Spider-Verse, Sony turut telah merancang filem pasukan semua-heroin yang terdiri daripada Gwen Stacy (Hailee Steinfeld) dan lain-lain watak super-heroin Marvel seperti Spider Woman dan Silk. 


KOMEN ANDA

Previous Post Next Post