Chris Hemsworth Akan Melakonkan Watak Sebagai Hulk Hogan? 
Dari seorang penggusti terkenal hingga menjadi ikon popular, sehinggalah kepada seorang yang penuh skandal, semuanya sudah dilalui oleh Terry Gene Bollea – ataupun lebih dikenali dengan nama pentasnya, Hulk Hogan. Oleh itu, tidaklah pelik jika sekarang ini ada perancangan untuk menghasilkan filem biopik Hulk Hogan pula. Itulah apa yang difikirkan oleh pengarahnya, Todd Phillips, dan pelakon paling sesuai yang difikirkannya untuk membawakan watak penggusti terkenal itu ialah Chris Hemsworth!.


Antara nama besar dalam dunia gusti antarabangsa, Hogan memulakan kerjayanya di dalam sirkit gusti di Florida pada tahun 1970-an. Selepas itu, Hogan menyertai World Wrestling Federation (WWF), dan menjadi nama besar seterusnya tarikan utama apabila Vince McMahon mengembangkan peranan dan kuasa syarikat tersebut menjadi antara entiti gusti ternama di dunia. Di Malaysia sendiri, nama Hulk Hogan meniti di bibir peminat gusti tempatan, menjadi tontonan datuk dan bapa kita sambil menikmati segelas kopi O di warung kampung suatu masa dahulu. Nama Hogan senakin gah sehingga muncul dalam filem, muka depan majalah, rancangan temubual di TV, malahan turut muncul dengan siri kartunnya sendiri. 

Walau bagaimanapun, popularitinya kini telah merosot dan terpalit pula dengan skandal video seks sehingga menyebabkan Hogan mengambil tindakan mahkamah menyaman laman gossip Gawker sehingga laman berkenaan diarahkan tutup, dan beliau memperolehi berjuta-juta dolar pampasan. 

Menurut The Hollywood Reporter, Phillips dan penulis, John Pollono dan Scott Silver akan memfokuskan kepada kisah Hogan dari penggusti biasa sehinggalah menjadi penggusti popular. Hogan sendiri akan bertindak sebagai penasihat dan penerbit eksekutif untuk filem biopik tersebut.  


KOMEN ANDA

Previous Post Next Post