Polis Evo 2 Akan Turut Ditayangkan Di Indonesia

Terjawablah persoalan tarikh tayangan filem Polis Evo 2, antara filem tempatan yang paling dinantikan tahun ini apabila diumumkan bakal menemui penonton di seluruh negara pada November ini.


Menurut laporan di CinemaOnline, apa yang lebih membanggakan adalah apabila filem terbitan Astro Shaw, Surya Citra Media dan BlackFlag ini akan turut ditayangkan di negara seberang iaitu Indonesia. 

"Selepas kejayaan filem pertama pada tahun 2015, ia menjadi perhatian di negara-negara jiran dan buat julung kalinya filem terbitan kami akan ditayangkan di Indonesia menerusi Polis Evo 2 ini. Tarikh sebenar untuk tayangan di sana belum dapat disahkan, tetapi ia akan mula ditayangkan di sana sekitar bulan Disember," ujar Naib Presiden & Ketua Bahagian Melayu dan Nusantara, Kumpulan Kandungan Astro, Dato' Khairul Anwar Salleh pada majlis pelancaran poster teaser Polis Evo 2 di Gasket Alley, Petaling Jaya baru-baru ini.

Tambahnya lagi, selepas kejayaan filem terbitan Astro Shaw baru-baru ini iaitu Hantu Kak Limah, pihaknya mahu terus memperkukuhkan lagi momentum kepercayaan penonton dengan menghasilkan naskhah berkualiti dan menepati selera penonton. 

Filem arahan pengarah muda Joel Soh dan Andre Chiew ini merupakan filem terakhir Astro Shaw pada tahun ini. Polis Evo 2 akan menyaksikan dua tunjang utama filem pertama iaitu Shaheizy Sam dan Zizan Razak bakal kembali menghidupkan watak asal mereka, iaitu sebagai Inspektor Khai dan Inspektor Sani. Kali ini mereka berdepan dengan cabaran lebih besar, apabila sekumpulan pengganas yang juga mengamalkan ajaran sesat menawan sebuah kampung dan menjadikan penduduk sebagai tebusan. Filem sekuel kali ini juga akan memperlihatkan barisan pelakon dari tiga buah negara, iaitu Malaysia, Singapura, dan Indonesia. 

Selain Sam dan Zizan, antara pelakon tempatan lain yang turut membintangi sekuel tersebut adalah Hairul Azreen, Syafie Naswip, Erra Fazira, Soffi Jikan, Dennis Yin, Hairue Othman dan Rusdi Ramli. 

Pelakon dari Singapura pula merupakan Hasnul Rahmat, Jeff Catz dan Fir Rahman, manakala Indonesia; Raline Shah, Mike Lucock dan Tanta Ginting. 

Polis Evo 2 bakal menggegarkan pawagam di seluruh negara bermula 22 November 2018.

KOMEN ANDA

Previous Post Next Post