Syamsul Yusof Mengambil Tindakan Undang-Undang Berkaitan Filem Munafik 2

Pengarah dan penerbit, Syamsul Yusof memutuskan untuk membawa ke muka pengadilan individu yang memuatnaik filem terbarunya, Munafik 2 ke Facebook walaupun ketika itu filem berkenaan masih ditayangkan di pawagam, menurut sumber dari Kosmo Online.


Syamsul, 30, menyatakan kepada Kosmo Online yang tindakan itu dilakukan bukan sahaja untuk mempertahankan karyanya iaitu filem Munafik 2, tetapi untuk filem-filem lain juga di masa yang akan datang. 

Syamsul dipetik sebagai berkata “Kami mendapat tahu tentang muatnaik haram berkenaan pada 19 September di mana pemilik Facebook yang menggunakan nama Sasuke Kun, memuatnaik rakaman video filem berkenaan. Walaupun telah ditegur secara baik untuk memadamkan pos berkenaan, pemunya akaun Facebook masih berdegil, seolah-olah cuba mencabarnya dirinya dan juga undang-undang".

Skop Production Sdn Bhd seterusnya menjalankan siasatan dan akhirnya mendapati akaun berkenaan adalah milik Muhammad Izwan Shah dan satu laporan telah dibuat kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, dan pihak polis. Syarikat berkenaan juga telah menghantar surat cara kepada Izwan dan kes akan disebut di Mahkamah Tinggi Taiping pada 22 Oktober 2018.

Munafik 2, yang turut dibintangi Maya Karin dan Nasir Bilal Khan, ditayangkan di pawagam bermula 30 Ogos 2018, dan telah mencatat kutipan sebanyak RM43 juta selepas ditayangkan di Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei.


KOMEN ANDA

Previous Post Next Post