Marvel Studios baru sahaja melancarkan treler pertama Ironheart – siri terbaru yang akan ditayangkan eksklusif di Disney+ Hotstar bermula 24 Jun 2025! Kalau korang rindu aksi Riri Williams selepas filem Black Panther: Wakanda Forever, ini masa untuk kembali bersama si genius dari Chicago ini.
Saksikan treler siri Disney+ Ironheart di bawah:
Dalam Ironheart, Dominique Thorne kembali memegang watak Riri Williams, pelajar genius MIT yang membina suit seakan Iron Man versinya sendiri. Kali ni, dia pulang ke kampung halamannya di Chicago, tapi hidupnya terus jadi huru-hara bila bertembung dengan karakter misteri tapi penuh karisma – Parker Robbins atau The Hood (lakonan Anthony Ramos).
"Teknologi lawan sihir" – itulah tema besar Ironheart. Bila seorang remaja genius dengan suit canggih berdepan dengan kuasa gelap yang penuh misteri, korang boleh jangka akan ada konflik yang bukan calang-calang.
Selain Thorne dan Ramos, siri Ironheart turut dibintangi oleh Lyric Ross, Alden Ehrenreich, Regan Aliyah, Manny Montana, Matthew Elam dan Anji White. Siri ni dicipta oleh Chinaka Hodge, yang juga bertindak sebagai penulis utama, manakala episod-episodnya diarahkan oleh Sam Bailey dan Angela Barnes.
Sedikit info untuk peminat komik – watak Riri Williams pertama kali muncul dalam komik Invincible Iron Man #7 (2016), hasil ciptaan Brian Michael Bendis dan Mike Deodato. Riri membina armor sendiri hasil bahan-bahan curi dari kampus, dan akhirnya mengambil gelaran Ironheart selepas Tony Stark koma dalam Civil War II.
Siri Ironheart akan ditayangkan bermula 24 Jun 2025, dengan tiga episod pertama terus dikeluarkan serentak, dan jumlah keseluruhan enam episod untuk musim pertama.
Post a Comment