Kami baru sahaja menonton filem MCU paling ditunggu-tunggu tahun ini, iaitu Black Panther: Wakanda Forever (2022), dan ini adalah review filem Black Panther: Wakanda Forever dari kami.

Black Panther: Wakanda Forever mengisahkan tentang pemerintah kerajaan Wakanda yang terpaksa berusaha keras mempertahankan kedaulatan kerajaan tersebut dari penceroboh, yang cuba menyerang mereka susulan kematian Raja mereka, T'Challa. Dalam masa yang sama, mereka berhadapan dengan satu ancaman baharu, dari kerajaan bawah laut bergelar Talokan yang diperintah oleh Namor. Kerajaan Talokan merupakan sebuah tamadun purba yang tenggelam di dasar laut menjadikan penduduknya beradaptasi dan berupaya hidup dalam laut. Di kalangan rakyatnya, Namor dikenali sebagai the feathered serpent god K'uk'ulkan, dan terlibat secara tak sengaja dengan dunia di permukaan Bumi apabila T'Challa mendedahkan kewujudan Wakanda kepada dunia, sekaligus turut meletakkan Talokan dalam bahaya. 

Namun, setelah menonton filem Black Panther: Wakanda Forever ini, ternyata ianya sekali lagi menjadi filem MCU Phase 4 yang bagi kami agak mengecewakan, walaupun tidaklah seteruk filem Thor: Love and Thunder.  Masa tayangan 2 jam 41 minit sesungguhnya amatlah draggy dan kadang kala membosankan. Malah mengejutkan apabila ada adegan perbualan yang menyebabkan kami menguap sambil menunggu apakah adegan selanjutnya. Jalan ceritanya yang terlalu panjang dan ada kalanya meleret, dan terlalu menekankan kepada elemen tribute dan send-off untuk mendiang Chadwick Boseman yang meninggal dunia pada Ogos 2020. Tidaklah pelik untuk sesebuah filem membuat tribute kepada pelakonnya yang telah meninggal dunia, namun elemen sentimental untuk aktor itu seakan digunakan secara berlebih-lebihan untuk memanjangkan jalan cerita filem ini.

Apa yang menariknya tentang filem ini adalah kemunculan Namor yang pertama kali tampil dalam filem MCU, yang juga merupakan seorang mutant dalam komik, lengkap dengan sayap kecil di kakinya. Mungkin kedengaran agak pelik, tetapi apabila melihatkan sendiri di layar perak, ianya nampak cool dan keupayaan sebenar Namor sebagai mutant. Walaupun pada awal penampilan Namor dalam filem ini nampak awkward dan 'pelik', namun ianya berubah apabila Namor dan penduduk Talokan menunjukkan kekuatan dan kehebatan mereka di akhir babak pertarungan dalam filem Black Panther: Wakanda Forever ini. Namun, kami merasakan babak pengenalan warga Talokan dalam filem ini agak sedikit kurang 'umpph' dan memberikan rasa yang biasa sahaja jika dibandingkan dengan pengenalan Atlantis dalam filem Aquaman yang lebih gah dan majestic. Malah, penampilan warga Talokan juga kami rasakan biasa sahaja. Namun ianya hanyalah nitpicking kami sahaja, kerana Aquaman adalah filem stand-alone untuk watak tersebut, manakala Namor dan warga Talokan hanya sebagai watak tambahan dalam filem Black Panther: Wakanda Forever. Mungkin ianya akan lebih dikembangkan lagi dalam filem stand-alone Namor nanti (jika ada) bukan?

Khabar angin menyatakan siapakah Black Panther terbaharu dalam filem ini nampaknya telah terjawab lebih awal dengan pendedahan demi pendedahan oleh Marvel Studios dalam trailer-trailer yang mereka tunjukkan. Walaupun Marvel cuba memberikan bayangan tidak semua yang diteka oleh peminat sebelum menonton filem Black Panther: Wakanda Forever ini adalah tepat, nampaknya apa yang diteka itulah yang berlaku. Ternyata Shuri adalah Black Panther terbaharu. Namun, kelibat kemunculan watak yang sebelum ini disebut-sebut peminat sebagai sesuai menjadi Black Panther baharu ternyata mengejutkan dan menimbulkan keterujaan. Siapakah watak itu? Kenalah tonton di pawagam ya.


Sudah tentunya antara watak yang dinanti-nantikan juga adalah Riri Williams, ataupun dikenali sebagai Ironheart (walaupun nama watak ini tidak dituturkan dalam filem). Watak yang akan mempunyai siri Disney+ sendiri dalam MCU Phase 5 itu nanti ternyata mengubat kerinduan peminat untuk melihat sut seakan Iron Man beraksi. Sudah tentunya kami tak sabar menantikan siri Disney+ Ironheart untuk melihat lagi Riri Williams beraksi dengan sut Ironheart tersebut. Dan jangan lupa tunggu kerana ada adegan mid credit scene yang mungkin merupakan petunjuk untuk filem Black Panther akan datang.

Secara umumnya, filem Black Panther: Wakanda Forever masih menghiburkan, walaupun berdepan dengan cabaran getir untuk bergerak ke hadapan selepas kematian mengejut bintang utamanya. Chadwick Boseman akan terus diingati sebagai Black Panther, dan nama wataknya akan terus hidup untuk filem-filem MCU akan datang.

PENILAIAN : 3.5/5 BINTANG

P/S: Jika anda sukakan review ini, jangan lupa untuk kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah. Sokongan anda amatlah kami hargai dalam usaha memberikan lebih banyak informasi yang menarik untuk bacaan anda.

KOMEN ANDA

Previous Post Next Post