Kami baru sahaja menonton filem Enola Holmes 2 (2022) di saluran penstriman Netflix, dan ini adalah review filem Enola Holmes 2 dari kami.

Filem Enola Holmes 2 adalah sebuah filem bercorak misteri penyiasatan, berkisarkan watak Enola Holmes yang merupakan adik perempuan kepada penyiasat terkenal, Sherlock Holmes. Dibintangi oleh Millie Bobby Brown sebagai watak utama, ianya mengisahkan tentang Enola Holmes yang baharu sahaja memulakan agensi detektifnya sendiri dan mengiklankan perkhidmatan kepada pelanggan baharu. Ketika hampir berputus asa pada awalnya kerana tiada sambutan, selain dibayangi kehebatan abangnya sendiri dalam menyelesaikan kes, Enola didatangi seorang kanak-kanak perempuan bernama Bessie yang memerlukan khidmat Enola untuk mengesan kakaknya (bernama Sarah). Di sini, bermulalah episod penyiasatan Enola yang menjejak petunjuk-petunjuk yang ditinggalkan oleh Sarah, dan dalam masa yang sama, cuba merungkai beberapa plot rahsia yang misteri melibatkan golongan bangsawan dan orang-orang berkepentingan. Berjayakah Enola menjejaki Sarah, seterusnya menyelesaikan misteri di sebalik kehilangan mengejut Sarah itu? Jangan lupa saksikan Enola Holmes 2 yang kini sedang ditayangkan di Netflix.

BERKAITAN: Trailer Filem Enola Holmes 2 Diperlihatkan, Bakal Ditayangkan November 2022

Seperti mana filem terdahulu, filem Enola Holmes 2 ini juga menampilkan keseronokannya yang tersendiri. Lakonan bersahaja dan meyakinkan watak Enola oleh Millie Bobby Brown sesungguhnya membawa 'berat' keseluruhan filem ini dengan amat baik sekali. Ditambah pula dengan watak-watak sampingan yang amat membantu perjalanan filem ini, ternyata ianya menjadi olahan yang seimbang, Apa yang menarik, walaupun watak Sherlock Holmes tampil beberapa kali dalam filem ini, malah dilakonkan pula oleh Henry Cavill, kehadiran beliau sedikitpun tidak overshadow watak utama ataupun watak-watak lain dalam filem ini.

Perkembangan plot filem ini juga amat menarik. Apa yang mulanya hanyalah sekadar kes orang hilang yang dirasakan kes mudah, akhirnya melarat menjadi kes melibatkan korupsi, penglibatan pengaruh orang bangsawan, perjuangan hak pekerja, feminisme dan lain-lain. Dari kes pertama ini juga, penonton dapat melihat perkembangan watak dan kematangan Enola menangani masalah-masalah yang dihadapi sepanjang siasatannya untuk menyelesaikan kes. Sekiranya tersekat, Enola turut dibantu oleh ibunya (lakonan oleh Helena Bonham Carter), Edith, Tewkesbury dan Sherlock sendiri. Filem ini turut memberikan bayangan awal watak seteru utama Sherlock Holmes, iaitu Moriarty, yang telahpun mula menunjukkan 'taring'nya untuk mencabar kehebatan Sherlock Holmes.

Elemen aksi juga tidak kurang hebatnya, di mana penonton disajikan dengan babak aksi, kejar-mengejar dan pertarungan yang baik dan tidak berlebih-lebihan. Dan kaitan filem ini dengan perjuangan sebenar pekerja kilang mancis di London sekitar tahun 1888 dahulu juga memberikan satu sentuhan realistik untuk memastikan filem dapat berpasak di dunia sebenar, menguatkan lagi jalan cerita filem ini yang telahpun sedia menarik.

Tidak dilupakan, penampilan cameo Dr. Watson di penghujung filem ini juga merupakan satu sentuhan yang menarik. Adakah Dr. Watson akan tampil membantu Enola dalam filem ketiga nanti? Sama-sama kita nantikan.

PENILAIAN : 4/5 BINTANG

P/S: Jika anda sukakan review ini, jangan lupa untuk kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah. Sokongan anda amatlah kami hargai dalam usaha memberikan lebih banyak informasi yang menarik untuk bacaan anda.

KOMEN ANDA

Previous Post Next Post