Review Filem Aquaman (2018) - Filem Superhero DC Yang Menghiburkan!

Sebagai peminat filem superhero, sememangnya filem Aquaman antara filem yang kami tunggu-tunggu. Apatah lagi dengan peluang untuk menyaksikan buat pertama kalinya backstory Aquaman ditampilkan di layar perak, sudah tentunya kami teruja menantikan tayangan filem Aquaman. Kini kami tampilkan review filem Aquaman.


Filem Aquaman merupakan filem terbaru dalam barisan filem komik DC, dan selepas beberapa siri kegagalan filem adaptasi komik DC untuk menyinar, filem Aquaman diharapkan membuka sinar baru. Apatah lagi selepas filem Wonder Woman, yang mendapat sambutan dan ulasan yang baik dari pengkritik dan penonton filem, filem-filem adaptasi komik DC terus bergelut untuk menonjol berbanding filem-filem adaptasi komik Marvel yang dilihat lebih tersusun dan mendominasi di pawagam dan mencatatkan keuntungan berlipat ganda.

Secara keseluruhan, kami melihat Aquaman sebagai filem yang banyak mengambil inspirasi dari komik. Banyak elemen ditampilkan adalah terus dari komik, seperti sut pakaian Aquaman dan reka bentuk topeng King Orm. Malahan rekabentuk perisai Black Manta juga mengambil terus rekaan dari komik. Ini tentunya menggembirakan para peminat Aquaman.


Watak Aquaman seringkali dipersendakan dan dipandang rendah kerana antara kuasanya adalah bercakap dengan ikan dan haiwan lautan, dan di dalam komik pernah ditunjukkan menunggang kuda laut sebagai medium pengangkutan. Ya, kami tahu, bunyinya memang mengarut bukan? Tetapi apabila diterjemahkan dalam filem Aquaman, ternyata James Wan sebagai pengarah telah berjaya meyakinkan penonton bahawa Aquaman dan kaum Atlantean adalah sebenarnya kaum yang luarbiasa, dan penampilan watak tentera dasar laut menunggang ikan jerung, kuda laut gergasi, megalodon (haiwan purba gbungan ikan jerung dan buaya) serta lain-lain haiwan lautan gergasi, menjadikan babak pertarungan bawah laut sebagai pertarungan yang epik dan penuh mendebarkan!

Kami tidak pernah mengikuti komik Aquaman sebelum ini, tetapi kami berpuas hati dengan filem Aquaman kali ini. Nampaknya ini filem adaptasi komik DC kedua selepas Wonder Woman yang mendapat pujian dari kami. Tidak rugi menonton filem Aquaman. Babak aksi, elemen humor, elemen keluarga berjaya ditampilkan dengan seimbang oleh James Wan, seorang pengarah yang terkenal dengan genre filem seram!

Kami berikan review filem Aquaman ini 4/5 bintang.

Filem Aquaman kini sudah boleh ditonton di pawagam berhampiran.

Pesanan : Jangan lupa menunggu di akhir filem kerana ada mid credit scene.

KOMEN ANDA

Previous Post Next Post