Kami telah diberikan kesempatan untuk menonton filem aksi terbaharu yang amat kami nanti-nantikan, iaitu Mission: Impossible - The Final Reckoning (2025) bertempat di TGV 1 Utama pada hari ini. Terima kasih kepada United International Pictures (UIP) Malaysia atas undangan tersebut. Dan ini adalah review filem Mission: Impossible - The Final Reckoning dari kami.

Selepas filem Mission: Impossible - Dead Reckoning Part One (2023), ramai tertanya-tanya sama ada filem selepasnya, yang diketahui umum merupakan filem penutup francais Mission: Impossible mampu menutup tirai dengan penuh bergaya. Dan Mission: Impossible - The Final Reckoning menjawab persoalan itu dengan satu penamat yang cukup meyakinkan—bukan sahaja dari segi aksi, tetapi juga emosi dan nilai karakter.

Kisah kali ini membawa Ethan Hunt ke medan paling mencabar dalam hidupnya: menjejak dan memusnahkan Entity, satu sistem kecerdasan buatan yang mampu mengganggu kestabilan dunia. Ancaman bukan sekadar bersifat fizikal, tetapi melibatkan kepercayaan, pengkhianatan dan harga diri. Misi kali ini benar-benar terasa peribadi—bukan hanya untuk Ethan, tetapi untuk seluruh pasukannya.

Dari segi aksi, filem ini mengekalkan standard tinggi yang telah menjadi jenama Mission: Impossible. Tom Cruise sekali lagi membuktikan bahawa usia hanyalah nombor apabila dia terus melakukan aksi lagak ngeri tanpa bantuan pelakon lagak ngeri. Sama ada menyelam dalam perairan beku atau mengendalikan pesawat di udara, setiap adegan disusun dengan teliti dan memberi impak visual yang besar. Ia bukan sekadar gimik, tetapi disematkan dalam naratif yang relevan. Setiap kali keluar sahaja filem Mission: Impossible baharu, Tom Cruise akan 'memaksa' dirinya untuk melakonkan lagak ngeri yang lebih over the top berbanding filem terdahulu. Satu dedikasi yang jarang-jarang dapat disaksikan dari pelakon-pelakon lainnya.

Watak-watak sokongan turut diberi ruang yang adil. Grace (lakonan Hayley Atwell) kini tampil sebagai ahli IMF yang lebih matang, menunjukkan perkembangan karakter yang konsisten sejak kemunculan pertamanya. Ving Rhames dan Simon Pegg, sebagai Luther dan Benji, kekal menjadi tunjang emosi dan komedi filem ini. Makala Gabriel, antagonis utama, membawa ancaman yang besar, namun mungkin sedikit kurang mendalam dari segi motivasi berbanding watak-watak antagonis terdahulu.

Dari aspek teknikal, sinematografi dan rekaan produksi, ianya kekal cemerlang seperti mana filem Mission: Impossible terdahulu. Lokasi-lokasi seperti di Artik, Afrika Selatan dan penggambaran di dalam air memberikan latar visual yang menakjubkan, sambil membantu mengukuhkan suasana tegang dan tidak menentu yang menyelubungi keseluruhan misi. Skor muzik juga bijak menggunakan tema klasik Mission: Impossible dengan nafas moden yang lebih dramatik.

Namun begitu, filem ini tidak terlepas daripada sedikit kelemahan. Beberapa bahagian penceritaan terasa sedikit meleret, terutamanya apabila cuba menjelaskan terlalu banyak aspek teknikal berkaitan Entity. Walaupun ia menambah lapisan pada konflik, ia mungkin sedikit memperlahankan momentum filem, memaksa penonton berfikir sambil mengaitkan adegan-adegan yang berlaku dalam filem-filem terdahulu. Masa tayangan selama 2 jam 50 minit juga tidak membantu sangat, kerana adegan yang boleh sahaja dipendekkan dan mengelakkan penonton menjadi bosan.

Kesimpulannya, filem Mission: Impossible – The Final Reckoning ialah sebuah penutup saga yang kemas, menghormati legasi watak utamanya, dan tetap menawarkan tontonan yang mendebarkan. Ia bukan sahaja menceritakan pengakhiran sebuah misi, tetapi juga memberi penghormatan kepada watak-watak utama francais filem berkenaan, menonjolkan aspek wira yang telah menempuh pelbagai cabaran sejak filem pertama ditayangkan pada tahun 1996 lalu. Satu penamat yang selayaknya untuk Ethan Hunt dan pasukan IMF, di mana misi akhir mereka adalah sebuah misi 'bunuh diri' yang benar-benar terasa mustahil - dan berjaya disempurnakan dengan penuh gaya.

PENILAIAN: 4/5 BINTANG

P/S: Jika anda sukakan review ini, jangan lupa untuk kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah. Sokongan anda amatlah kami hargai dalam usaha memberikan lebih banyak informasi yang menarik untuk bacaan anda.

KOMEN ANDA

Previous Post Next Post