Filem The Marvels (2023) merupakan kesinambungan kepada filem Captain Marvel (2019), kembali dengan gandingan tiga watak wanita utama – Carol Danvers/ Captain Marvel (lakonan Brie Larson), Kamala Khan/ Ms. Marvel (lakonan Iman Vellani) dan Monica Rambeau (lakonan Teyonah Parris). Filem ini diarahkan oleh Nia DaCosta, dan merupakan filem ke-33 dalam MCU. Tapi... adakah ia mampu beri impak seperti filem dari Marvel Studios sebelumnya?
Premis utama filem The Marvels berkisar tentang ketiga-tiga heroin ini yang tiba-tiba mula bertukar tempat secara rawak apabila menggunakan kuasa mereka – akibat gangguan pada jump points di galaksi. Mereka terpaksa berganding bahu untuk hadapi ancaman Dar-Benn (Zawe Ashton), seorang Kree yang ingin membalas dendam ke atas Captain Marvel sambil mengancam kestabilan beberapa planet.
Dari segi idea, memang unik dan berpotensi. Tapi jalan cerita terasa tergesa-gesa – macam semua benda nak sumbat dalam 1 jam 45 minit. Plot boleh tahan menarik, tapi pacing agak kelam-kabut, terutama pada bahagian pertengahan hingga akhir.
Kalau sebut Marvel Studios, mestilah kita harapkan babak aksi yang cinematic dan penuh debaran. Dalam hal ini, filem The Marvels tak mengecewakan. Koreografi aksi, efek CGI, dan babak bertukar tempat semasa berlawan memang nampak cool dan kreatif. Gabungan kuasa tiga watak ni juga jadi highlight utama filem ini.
Yang mencuri perhatian, sudah tentunya watak Kamala Khan/ Ms. Marvel lakonan Iman Vellani. Dia bawa energi remaja yang naif, kelakar dan penuh semangat – menyuntik humor yang segar dalam filem ni. Interaksinya dengan Carol Danvers dan Monica Rambeau pun nampak natural, walaupun kadang-kadang chemistry mereka tak cukup mendalam.
Watak jahat Dar-Benn, sayangnya, terasa sangat cliche dan tidak cukup “umphh”. Motif dendam dan tindakan dia kurang memberi kesan emosi. Ditambah pula dengan skrip yang agak ringan – tak cukup momentum untuk beri rasa mendalam atau konflik yang betul-betul kuat. Dan wataknya pun tidak memberikan apa-apa rasa gerun apabila tampil di layar. Nampak macam makcik makcik pun ada.
Secara keseluruhan, filem The Marvels ialah sebuah filem aksi ringan yang menghiburkan – sesuai untuk peminat MCU yang nak tengok sambungan kisah Carol Danvers dan Kamala Khan. Tapi dari segi impak, ia masih belum setanding filem Marvel era Infinity Saga. Ia seperti satu episod panjang MCU, bukan filem besar yang boleh berdiri sendiri.
PENILAIAN: 3/5 BINTANG
P/S: Jika anda sukakan review ini, jangan lupa untuk kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah. Sokongan anda amatlah kami hargai dalam usaha memberikan lebih banyak informasi yang menarik untuk bacaan anda.
Post a Comment