Nampaknya sekali lagi Warner Bros. dan DC berhadapan masalah dalam penghasilan filem mereka, kali ini melibatkan pelakon utama filem The Flash, iaitu Ezra Miller.

Menurut laporan oleh Rolling Stone, para eksekutif di Warner Bros. dan DC telah mengadakan satu mesyuarat tergempar pada 30 Mac 2022 susulan insiden melibatkan pelakon Ezra Miller, yang telah ditahan pada minggu lepas kerana berkelakuan tidak sopan dan kacau ganggu. Menurut mereka yang hadir dalam mesyuarat tersebut, studio tersebut telah mencapai persetujuan bersama untuk menghentikan sementara apa jua projek akan datang yang melibatkan pelakon tersebut, termasuklah apa jua kemunculan akan datang untuk filem-filem dalam DC Extended Universe (DCEU).

BERKAITAN: Michael Keaton Kembali Menyarungkan Sut Batman Dalam Filem Baharu The Flash?

Walau bagaimanapun, pihak studio perfileman tersebut masih berdiam diri tentang keputusan mereka melibatkan filem terbaharu lakonan Ezra, iaitu The Flash arahan Andrés Muschietti. Filem tersebut juga telah banyak kali berhadapan dengan masalah, sehinggakan ditangguhkan beberapa kali dan terbaharu, jadual tayangan filem terbabit telah ditunda ke 23 Jun 2023. 

Sebelum ini, Ezra Miller pernah membuat kemunculan sebagai The Flash dalam filem Batman v Superman: Dawn of Justice (2016), Suicide Squad (2016), Justice League (2017), siri TV Arrow, dan siri TV Peacemaker.


KOMEN ANDA

Previous Post Next Post