Hanya tinggal 1 sahaja episod lagi sebelum Moon Knight melabuhkan tirainya untuk Musim 1. Dan untuk Moon Knight episod 5 ini, kita dapat mengetahui latar bagaimana Marc Spector menjadi avatar kepada Khonshu, dan sambungan kepada pengakhiran episod terdahulu.

Untuk Moon Knight episod ke-5 ini, dinamik pertembungan antara personaliti Marc Spector dan Steven diteruskan. Kali ini, kedua-dua personaliti ini dapat berinteraksi secara berdepan, dan dapat dilihat bagaimana Oscar Isaac bijak melakonkan situasi bertukar-tukar personaliti antara kedua-dua watak tersebut. Rupa-rupanya, figura wanita berkepala badak air yang muncul di penghujung Moon Knight episod 4 tempohari adalah dewi Mesir bernama Taweret. Taweret menyatakan yang Marc dan Steven telah mati, dan 'hospital' yang menempatkan mereka itu adalah sebenarnya berada dalam sebuah kapal yang belayar di atas padang pasit menuju ke Duat, yang merupakan dunia kematian dalam mitos Mesir. Taweret telah meletakkan jantung Marc dan Grant di atas Scales of Justice di atas kapal itu, dan menyatakan hanya yang mempunyai imbangan yang seimbang sahaja akan dapat pergi ke peringkat seterusnya iaitu memasuki Field of Reeds. Mereka berdua menemui satu bilik dipenuhi penjenayah yang dibunuh oleh Marc selepas diarahkan Khonshu. Dalam satu adegan, Marc telah menunjukkan kepada Steven bagaimana beliau dipilih menjadi avatar kepada Khonshu ketika di ambang maut. Taweret cuba membantu Marc dan Steven kembali ke dunia kehidupan, namun kapal tersebut diserang oleh roh jahat, sebelum Steven terjatuh dari kapal tersebut dan bertukar menjadi pasir dan ditelan Duat. Selepas itu, tiba-tiba Scales of Justice telah menjadi seimbang, dan Marc kemudiannya menyedari yang dirinya berada di tengah-tengah Field of Reeds, seorang diri dan tanpa Steven.


Seperti yang kami katakan tadi, pelakon utama Moon Knight, iaitu Oscar Issac amat cemerlang melakonkan personaliti Marc Spector dan Steven Grant. Untuk Moon Knight episod 5 ini, nampaknya masih kekal 2 personaliti ini sahaja yang menjadi tumpuan. Peminat masih perlu menantikan bilakah masanya satu lagi personaliti, iaitu Jake Lockley, akan muncul.


Untuk Moon Knight episod 5 ini juga, nampaknya tiada kelibat Moon Knight dengan full suit beraksi. Yang ada hanyalah transformasi dari Marc Spector di hadapan patung Khonshu ketika beliau mula-mula dipilih sebagai avatar kepada Khonshu.

Tak sabar kami nantikan penamat Moon Knight Musim 1 pada minggu hadapan. Jom nantikan bersama-sama kami!


KOMEN ANDA

Previous Post Next Post