Bintang utama francais filem Fast & Furious, Vin Diesel mengesahkan penggambaran filem Fast & Furious 10 secara rasminya telah bermula, serta memperlihatkan logo filem tersebut yang akan dikenali dengan tajuk ringkas iaitu Fast X. Pengumuman itu dibuat oleh Vin Diesel melalui Instagram peribadinya yang boleh dilihat di bawah:

Francais filem Fast & Furious, walaupun dianggap sudah menjadi semakin mengarut dan terlalu jauh dari setup filem-filem awalnya dahulu, merupakan antara francais filem Hollywood yang paling berjaya. Filem-filem dalam francais Fast & Furious terus mencatatkan rekod demi rekod di setiap kali pelancaran filem baharunya. Maka tidaklah pelik jika francais itu boleh bertahan sehingga bakal menjangkau filem kesepuluhnya!

Filem Fast & Furious 10 menandakan filem terakhir dalam francais filem Fast & Furious, namun ianya mungkin tidak berhenti di situ sahaja, sebaliknya berkemungkinan akan ada pula filem-filem sampingan dan spin-off, seperti mana filem Fast & Furious Presents: Hobbs & Shaw. Agak mustahil Universal Pictures akan menghentikan sahaja francais paling berjaya itu tanpa mengaut keuntungan lagi di masa akan datang. 

Fast & Furious 10 akan membawa kembali pelakon-pelakon terdahulu seperti Michelle Rodriguez, Tyrese Gibson, Ludacris, Jordana Brewster, Nathalie Emmanuel, Charlize Theron, dan Sung Kang, selain pengumuman sebelum ini yang turut membariskan muka-muka baharu ke francais tersebut seperti Jason Momoa dan Brie Larson. Walau bagaimanapun, Dwayne Johnson tidak akan kembali sebagai Ejen Hobbs disebabkan persengketaannya dengan Vin Diesel susulan penghasilan filem Hobbs & Shaw.

Filem Fast & Furious 10 dijadualkan untuk tayangan bermula 19 Mei 2023. 


KOMEN ANDA

Previous Post Next Post