Selepas beberapa tahun diperkatakan dan status yang tergantung, kini nampaknya telah ada bayangan untuk penghasilan filem reboot The Crow, dengan penggambaran dikatakan akan bermula sekitar Jun ini!

Bill Skarsgard, yang melakonkan watak Pennywise the Clown dalam filem seram It, dilaporkan akan membintangi filem reboot kepada filem dengan tajuk sama yang ditayangkan pada tahun 1994, yang akan diarahkan oleh Rupert Sanders (pengarah filem Snow White and the Huntsman dan Ghost in the Shell).

The Crow mengambil inspirasi dari komik indie Crow yang ditulis dan dilukis oleh James O’Barr sekitar penghujung tahun 1980-an, mengisahkan tentang seorang lelaki dan tunangnya yang diserang dan dibunuh oleh sekumpulan penjahat. Lelaki itu hidup semula melalui suatu kuasa mistik dari seekor burung gagak, dan membalas dendam terhadap kumpulan penjahat yang menyerang dia dan tunangnya. 

Untuk rekod, filem pertama The Crow (yang ditayangkan pada 1994) mendapat kutipan box office hit dan mempunyai pengikutnya tersendiri, apatah lagi selepas kematian pelakon utamanya dan juga anak kepada legenda Bruce Lee, iaitu Brandon Lee di set penggambaran filem tersebut akibat tertembak senjata prop yang digunakan. 

Selepas itu, beberapa filem sambungan turut dihasilkan, seperti The Crow: City of Angels (1996), The Crow: Salvation (2000) dan The Crow: Wicked Prayer (2005) dengan menampilkan beberapa pelakon utama yang tidak kekal. Terdapat juga siri TV yang dihasilkan di penghujung tahun 1990-an, menampilkan Mark Dacascos sebagai watak utama.


KOMEN ANDA

Previous Post Next Post