Filem Suicide Squad (2016) boleh dianggap gagal kerana jalan cerita yang tak menarik, dan watak-watak yang amat asing bagi penonton filem yang bukanlah seorang penggemar komik. Namun, lain pula kisahnya dengan filem The Suicide Squad (2021) arahan James Gunn yang berjaya menjadikan filem kali ini lebih menarik dan menghiburkan untuk ditonton. Jom baca review filem The Suicide Squad dari kami.

The Suicide Squad membawa kembali pelakon dan watak dari filem Suicide Squad (2016) iaitu Viola Davis (sebagai Amanda Waller), yang menghimpunkan satu pasukan khas dinamakan Task Force X yang terdiri dari penjahat dan penjenayah berkuasa super. Kesemua penjahat ini terpaksa mengikut arahan bagi setiap misi yang ditentukan, jika tidak mahu bahan letupan yang ditanam dalam kepala mereka meletup kerana ingkar arahan. 

BERKAITAN: Filem Suicide Squad 2 Bukanlah Filem Sambungan, Tetapi Filem Baru Sepenuhnya

Seperti mana dijangka, filem The Suicide Squad ini penuh dengan adegan ganas dan darah bersepai di sana sini. Di awal filem ini pun penonton sudah disajikan dengan adegan pendaratan di pantai Corto Maltese dan pertempuran dengan pasukan tentera di situ. Antara watak-watak dari filem Suicide Squad (2016) yang kembali untuk filem ini adalah Rick Flag (lakonan Joel Kinnaman), Harley Quinn (lakonan Margot Robbie) dan Captain Boomerang (lakonan Jai Courtney), selain menampilkan watak-watak baharu seperti Blackguard (lakonan Pete Davidson), T.D.K. (lakonan Nathan Fillion), Javelin (lakonan Flula Borg), Mongal (lakonan Mayling Ng), Savant (lakonan Michael Rooker) dan Weasel (watak CGI lakonan Sean Gunn). Yang kelakarnya, beberapa watak dari senarai ini menemui ajal seawal babak ini lagi, akibat kesilapan-kesilapan yang agak mengarut dan tidak dijangka. 

Namun, selain pasukan di atas, ada satu lagi pasukan yang mendarat di sebelah lain pantai sama pada ketika itu, iaitu pasukan yang terdiri daripada Bloodsport (lakonan Idris Elba), Peacemaker (lakonan John Cena), Polka-Dot Man (lakonan David Dastmalchian), Ratcatcher 2 (lakonan Daniela Melchior) dan King Shark (watak CGI yang diberikan suara oleh Sylvester Stallone). Misi mereka yang pada awalnya adalah untuk memusnahkan satu projek rahsia Nazi yang disimpan dalam satu penjara khas, akhirnya menjadi huru-hara apabila sebenarnya ada penglibatan pihak lain yang ingin menutup rahsia yang telah sekian lama tersimpan, dan membawa mereka bertarung secara berhadapan dengan makhluk asing berbentuk tapak sulaiman raksasa digelar Starro. Dapatkah mereka mengalahkan Starro dan menyelamatkan diri mereka dan dunia? Jangan lupa saksikan filem The Suicide Squad.

Seperti mana filem Guardians of the Galaxy dalam MCU, James Gunn sememangnya pandai menghidupkan filem-filem dan watak dari komik yang tidak begitu dikenali. Resepi yang digunakan untuk filem Guardians of the Galaxy nampaknya menjadi untuk filem The Suicide Squad ini. Sudah tentunya watak yang paling mencuri tumpuan adalah watak King Shark, yang walaupun berupa ganas dan merupakan spesies jerung, namun berjaya menambat hati kami dengan telatah dan ayat sebarisnya yang kelakar. Boleh dikatakan hampir kesemua watak-watak lain juga beraksi cemerlang dan seimbang, sesuatu yang gagal dilaksanakan dalam filem terdahulu. Dinamik hubungan antara watak Bloodsport dan Peacemaker juga dapat ditunjukkan dengan baik, di mana kedua-dua watak ini mempunya moral compass yang berbeza antara satu sama lain.

RATING SEMBANGFILEM : 4.2/5 bintang

KOMEN ANDA

Previous Post Next Post