Sony terlalu try hard?

Ya itulah yang kami rasakan ketika berpeluang menonton filem Venom: Let There Be Carnage baru-baru ini. Tetapi kenapa kami mengatakan sebegitu? Baca dulu review ini sampai habis.


Venom: Let There Be Carnage menemukan semula watak Eddie Brock (lakonan Tom Hardy) dengan simbiot Venom (yang diberikan suara juga oleh Tom Hardy), dan cabaran kehidupan seharian mereka selepas kejadian dalam filem Venom. Konflik wujud apabila kedua-dua entiti ini saling cuba wujud secara bersama, tetapi dengan perangai berbeza. Di penghujung filem Venom pertama dahulu, penonton diperkenalkan dengan watak pembunuh bersiri Cletus Kasady (lakonan Woody Harrelson), yang telah memilih Brock untuk menerbitkan kisah hidupnya yang ketika itu sedang dipenjarakan. Walau bagaimanapun, satu kejadian ketika pertemuan mereka telah menyebabkan Kassidy mempunyai kuasa simbiot seakan Venom, menyebabkannya bertukar menjadi simbiot jahat bergelar Carnage dan berjaya melarikan diri dari penjara. 

BERKAITAN: Review Filem Venom (2018) - Inilah Venom Sebenar!

Interaksi Brock dan Venom digambarkan seperti 'pasangan bercinta' yang kerap bertengkar akibat perselisihan pendapat. Venom digambarkan mahukan kebebasan untuk menyerang orang jahat bila-bila masa difikirkan sesuai, manakala Brock pula lebih mahukan suasana tenang dan aman dan tidak mahu terlalu menonjol, Pertembungan ini menimbulkan konflik, sehingga Venom 'mengambil keputusan' untuk meninggalkan Brock dan mencari hos lain. Dalam adegan ini sahaja, Sony kelihatan terlalu try hard untuk menjadikan filem ini enjoyable dan fun seperti mana filem oleh Marvel Studios (ya, walaupun watak Venom dan Carnage itu adalah milik Marvel, tetapi hak penerbitan filem masih dipegang oleh Sony Pictures). Mungkin Sony cuba mengambil sisi kelakar watak Venom dalam filem terdahulu, tetapi menjadi agak keterlaluan, sehinggakan scene tersebut menjadi menjengkelkan dan serabut.


Selain Venom, antara watak simbiot yang digemari peminat komik adalah Carnage. Walaupun penampilan watak Cletus Kasady di penghujung filem Venom menimbulkan hype yang bukan sedikit di kalangan peminat komik Marvel. Walau bagaimanapun, seperti biasa, Sony membazirkan peluang untuk betul-betul develop watak Kasady dan Carnage. Sebaliknya, motif kenapa Carnage boleh muncul juga agak longgar, dan motif utama Kasady juga hanyalah sekadar untuk bertemu semula dengan kekasihnya iaitu Frances Barrison atau Shriek (lakonan Naomie Harris) yang mempunyai kuasa jeritan sonik. 

Ditambah pula dengan masa tayangan yang hanya 97 minit (1 jam 37 minit), kami sendiri terkejut dengan tempo filem ini. Jalan cerita yang ringkas, adegan yang agak meleret, dan penamat yang pada kami terlalu biasa, hype terhadap filem ini ternyata tidak kesampaian. Bukanlah filem ini tidak menyeronokkan, tetapi kami rasakan masih banyak yang boleh diperbaiki, terutamanya untuk watak sepenting Carnage.

Jangan lupa tunggu untuk 2 credit scene filem ini, yang mana credit scene kedua mengaitkan secara terus filem ini dengan filem Spider-Man:No Way Home.

Kami berikan 3.8/5 bintang untuk filem Venom: Let There Be Carnage.

Tak setuju dengan komen kami? Tinggalkan komen korang di bawah.

KOMEN ANDA

Previous Post Next Post