Ulasan Filem Venom (2018) - Inilah Venom Sebenar!

Ulasan Filem Venom (2018) - Inilah Venom Sebenar!

Sebenarnya, ada banyak filem yang kami nanti-nantikan tahun ini. Avengers: Infinity War, Black Panther, Ant-Man and The Wasp (sekadar menyebut beberapa filem), dan kini satu lagi filem, iaitu Venom, telah mula menjengah di pawagam. Apa ulasan kami tentang filem ini?

Venom choking bad guy

Filem ini adalah filem stand-alone dan lebih kepada origin story Venom tanpa dikaitkan dengan Spider-Man. Penggemar komik umumnya mengetahui yang pada awal kemunculan Venom dalam komik, ianya adalah merupakan sut alternatif Spider-Man (berwarna hitam) yang sebenarnya adalah simbiot makhluk asing yang memerlukan perumah untuk hidup. Apabila Spider-Man mendapati ianya bernyawa, sut itu dibuang dan akhirnya berjumpa dengan perumah baru, iaitu Eddie Brock, yang sememangnya berdendam dengan Peter Parker/Spider-Man, seterusnya menjadikan pertembungan kedua-dua watak ini antara yang menarik dalam dunia komik.

Berbalik kepada filem Venom, walaupun laman Rotten Tomatoes memberikan penarafan yang agak 'kejam' terhadap Venom, kami merasakan inilah versi Venom yang lebih hampir dengan komik, berbanding penampilan Venom sebelum ini dalam filem Spider-Man 3 arahan Sam Raimi. Interaksi antara Venom dan Eddie Brock juga ditangani dengan baik, dan sisi 'anti-hero' Venom dapat ditunjukkan dengan baik.

Venom smiles

Walaupun tidak berkait dengan Spider-Man, dan tiada logo labah-labah putih ikonik pada Venom, ia tidaklah sesuatu yang janggal dan kami boleh membiasakan diri dengan watak Venom tanpa logo tersebut.

Watak-watak dari komik juga dapat diterjemahkan dengan agak baik, walaupun ada beberapa adegan yang mengundang pertanyaan. Watak-watak sampingan juga berjaya mewujudkan chemistry yang baik. Pada pandangan kami, walaupun babak permulaan agak meleret (mungkin kerana kami terlalu tak sabar menantikan kemunculan Venom), tetapi secara keseluruhan, tempo filem ini adalah baik.

Venom japan poster

Jangan lupa nantikan dua klip video penutup, yang mana klip pertama adalah pembayang kepada watak seterusnya yang mungkin akan muncul untuk menentang Venom, dan klip kedua adalah filem animasi Marvel yang akan muncul berkaitan Spider-Man. Dan ada sesuatu berkaitan negara kita, Malaysia turut dipaparkan dalam filem Venom. Apakah dia? Yang itu, korang kena saksikan sendiri.

Kami tak nafikan, selepas beberapa kegagalan filem Marvel di luar skop Marvel Studios, filem Venom ini merupakan satu permulaan yang baik untuk filem-filem lain.

Secara keseluruhannya, kami memberikan 4/5 bintang untuk filem Venom.

Filem Venom kini telah boleh ditonton di pawagam berhampiran.

"WE ARE VENOM!"


No comments:

Powered by Blogger.