Agak lama jugak kami tidak menonton filem kapal selam yang mendebarkan seperti Hunter Killer. Selepas menonton filem-filem mengisahkan kapal selam yang bagus seperti The Hunt for Red October dan U-571, kini bolehlah kami katakan filem Hunter Killer ini pun merupakan filem kapal selam yang bagus dan tak rugi ditonton.


Hunter Killer diarahkan oleh Donovan Marsh dan berdasarkan novel Firing Point nukilan Don Keith dan George Wallace, dan dibintangi barisan pelakon hebat seperti Gerard Butler, Gary Oldman, Michael Nyqvist, Common, Linda Cardellini dan Toby Stephens.

Hunter Killer mengisahkan tentang Joe Glass (lakonan Gerard Butler), kapten kapal seram USS Arkansas dan krewnya yang ditugaskan menjejak sebuah kapal selam Amerika yang hilang di lautan Artik. Misi yang pada awalnya hanya disangkakan misi pencarian biasa, bertukar misi mendabarkan apabila mereka diserang oleh kapal selam Rusia yang juga berada di lautan berkenaan untuk menyiasat kehilangan kapal selam mereka. Dalam situasi kelam kabut berkenaan, Glass dan krewnya terpaksa merungkai misteri kehilangan dua kapal selam kuasa besar tentera dunia itu, dan dalam masa yang sama mengelakkan perang besar yang mungkin tercetus antara Amerika dan Rusia. 



Di pihak Rusia, berlaku rampasan kuasa apabila menteri pertahanan Rusia menahan presidennya sendiri sebagai tebusan, dan berhasrat melancarkan perang terhadap Amerika. Amerika mendapat berita tentang rampasan kuasa tersebut, dan menghantar USS Arkansas dan satu pasukan tentera SEAL untuk menjalankan misi menyelamat Presiden Rusia, seterusnya mengelakkan keadaan menjadu lebih teruk. Dapatkah mereka menyelamatkan Presiden Rusia dan mengelakkan kemungkinan Perang Dunia Ketiga? Jangan lupa saksikan filem Hunter Killer di Netflix.

Bagi kami, filem Hunter Killer merupakan filem yang bagus dan tidak bosan ditonton. Elemen debaran semenangnya dapat dirasakan, dan penonton dapat mengalami perasaan berdebar apabila menonton filem ini. Bayangkan, kita dapat merasai perasaan berada dalam kapal selam di kedalaman beribu meter di bawah paras laut, dalam ruang sempit, dan berhadapan pula dengan tembakan torpedo dari pihak lawan yang ingin menenggelamkan kapal selam lawan. 

Kami berikan 4/5 bintang untuk filem Hunter Killer.

KOMEN ANDA

Previous Post Next Post