Ketika menonton filem pertama Ip Man pada tahun 2008 dahulu, kami tidak menjangkaan filem ini akan mencetuskan fenomena sehingga berjaya dihasilkan sampai empat filem. Menampilkan Donnie Yen sebagai pelakon utama, berlatarkan zaman pendudukan Jepun di China, dan korekgrafi babak perlawanan yang memukau (siapa sahaja yang boleh lupakan adegan Ip Man bertarung dengan sekumpulan tentera Jepun, dan pertama kali menampilkan aksi terkenal "machine gun punch"), menyebabkan ramai peminat filem seni mempertahankan diri teruja menontonnya. Filem Ip Man 4: The Finale merupakan penutup kepada legasi filem Ip Man, dan ini merupakan review filem Ip Man 4: The Finale dari kami. 


Ip Man 4: The Finale mengisahkan mahaguru Ip Man yang mana selepas kematian isterinya, menghadapi cabaran untuk membesarkan anak lelakinya yang cenderung ingin belajar seni mempertahankan diri juga, walaupun Ip Man berupaya memastikan anaknya itu mendapat pendidikan formal yang terbaik. Selepas menerima jemputan dari ana muridnya yang paling terkenal, Bruce Lee yang telah membuka sekolah Wing Chun di Amerika, beliau meninggalkan negaranya untuk ke San Francisco, Amerika sekaligus cuba melihat peluang supaya anaknya dapat bersekolah di Amerika. Walau bagaimanapun, seperti mana filem-filem terdahulu, beliau terpaksa berhadapan dengan pelbagai masalah semasa di Amerika, sehingga memaksanya menggunakan kepakaran seni mempertahankan dirinya untuk menyelesaikan masalah.

BERKAITANFilem Ip Man 4: The Finale Memecahkan Rekod Kutipan Box Office Ip Man 3


Untuk pertarungan akhir, kali ini Ip Man (lakonan Donnie Yen) bertarung dengan Barton Geddes (lakonan pelakon aksi dan pakar seni mempertahankan diri yang tidak asing dalam filem Hollywood iaitu Scoot Adkins), selain menampilkan lakonan hebat pelakon seperti Wu Yue, Chris Collins, Van Ness Wu, Vanda Margraf dan Danny Chan Kwok-kwan. Namun begitu, formula filem ini masih sama seperti 3 filem terdahulu, yang menekankan elemen bangsa, tekanan perkauman akibat berada di negara asing dan menjadi mangsa buli perkauman, sesuatu yang masih berlaku kepada kaum minoriti terutamanya di Amerika. 

Filem Ip Man memang terkenal dengan aksi pertarungan, dan filem Ip Man 4: The Finale ini juga tak terkecuali. Namun ianya juga tidaklah terlalu cliche, kerana masih menekankan aspek kekeluargaan, di mana sesi remaja anak lelaki Ip Man yang memberontak akibat kemahuannya tidak dituruti, sehinggalah ke babak di penghujung di mana Ip Man mendedahkan penyakit yang dihidapinya, baharulah mereka berbaik semula. 


Salah satu kemunculan yang paling ditunggu-tunggu sudah tentunya adalah kemunculan Bruce Lee, yang dilakonkan dengan cemerlang oleh Danny Chan. Mimik muka, pergerakan, gaya berjalan, dan gaya bertarung sememangnya hampir sama dengan Bruce Lee. Tahniah kepada pasukan produksi kerana berjaya mencari pelakon yang seakan mirip dengan Bruce Lee, hinggakan penonton dapat merasakan bagai Bruce Lee kembali beraksi di layar perak. 


Filem Ip Man 4: The Finale menandakan berakhirnya sebuah legasi, apabila Donnie Yen mengumumkan filem ini merupakan filem kung fu terakhirnya, dan ingin memfokuskan kariernya kepada filem bergenre lain pula.

Kami berikan rating 4/5 untuk filem Ip Man 4: The Finale. Sesiapa yang belum menonton, bolehlah tonton di saluran Disney+ Hotstar.

KOMEN ANDA

Previous Post Next Post