Panggung Wayang Dibenarkan Beroperasi Semula Bermula 1 Julai 2020


Pandemik COVID-19 meninggalkan kesan yang bukannya sedikit di seluruh dunia. Hampir semua industri terkesan, baik kesihatan, ekonomi, hiburan dan lain-lain. Di negara kita, keputusan kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergererakan (PKP) telah menyebabkan banyak bisnes terpaksa gulung tikar. Tidak kurang juga yang terpaksa menutup sementara operasi mereka, sehingga Peraturan Operasi Standard (SOP) dikeluarkan Kerajaan sebagai langkah mengawal dari wabak COVID-19 terus merebak.


Terbaharu, Kerajaan telah mengumumkan panggung wayang untuk kembali beroperasi bermula 1 Julai 2020. Pengumuman tersebut diumumkan oleh Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaacob dalam satu sidang media pada semalam, selepas tatacara operasi standard berkaitan dipersetujui mesyuarat khas menteri.

Walau bagaimanapun, beliau menjelaskan pengusaha panggung wayang perlulah mematuhi beberapa SOP yang telah ditetapkan, seperti jumlah pengguna pada satu masa tidak boleh melebihi 250 orang dengan penjarakan sosial 1 meter.

Beliau berkata dalam sidang media berkenaan:

“Kalau dewan tidak mampu menampung jumlah 250 orang apabila penjarakan 1 meter dilakukan, jumlahnya perlu dihadkan mengikut keluasan dewan…kalau boleh had 100 orang, ia perlu dihadkan kepada jumlah itu.

Beliau berkata kebenaran juga diberikan kepada teater dan acara langsung dalam ruang tertutup, juga dengan peraturan sama.

Pengumuman ini sudah tentunya melegakan pengusaha panggung wayang, dan para peminat filem amnya. Walaupun teruja untuk menonton wayang dan mengalami semula pengalaman menonton wayang di panggung wayang, segala SOP yang ditetapkan perlulah terus dipatuhi demi mengekang penularan semula wabak COVID-19.

#kitamestimenang

KOMEN ANDA

Previous Post Next Post