Christian Bale Sah Akan Melakonkan Watak Penjahat Dalam Filem Thor: Love And Thunder


Seperti mana baris dialog yang terkenal dalam filem The Dark Knight yang diungkapkan oleh Harvey Dent iaitu "you either die a hero, or you live long enough to see yourself become the villain", nampaknya Christian Bale juga telah terpalit dengan ironi ungkapan berkenaan.Selepas melakonkan watak Batman dalam trilogi filem karya Christopher Nolan, kini telah disahkan yang Bale akan melakonkan watak penjahat dalam filem terbaharu Thor, bertajuk Thor: Love and Thunder.




Dalam satu temubual bersama ET, Tessa Thompson (melakonkan watak Valkyrie) menyatakan yang beliau telah membaca skrip filem terbaharu MCU itu, dan mendapati yang kedua-dua watak Valkyrie dan juga Thor akan berhadapan dengan watak penjahat lakonan Bale, namun tidak pula didedahkan nama watak berkenaan. Ada spekulasi yang menyatakan Bale akan melakonkan watak penjahat bernama Balder the Brave.

Filem Thor: Love and Thunder kembali diarahkan oleh Taika Waititi susulan kejayaan filem Thor: Ragnarok (2017) yang juga merupakan hasil pengarahannya. Natalie Portman (melakonkan watak Jane Foster) akan kembali, di mana Jane mempunyai kuasa Thor dan menggunakan Mjolnir sebagai senjata. Selain Portman, Chris Hemsworth dan Tessa Thompson turut kembali melakonkan watak mereka sebagai Thor dan Valkyrie.


Filem Thor: Love and Thunder dijadualkan untuk tayangan pada 5 November 2021.

KOMEN ANDA

Previous Post Next Post