Review Filem Spider-Man: Far From Home (2019) - Spider-Man Pasca Endgame


Umum mengetahui tentang apa yang berlaku dalam Avengers: Endgame. Selepas kematian Iron Man (dan Black Widow di Vormir) serta Captain America menjadi tua (dan menyerahkan perisainya kepada Falcon), dunia seakan melihat berakhirnya pasukan Avengers. Spider-Man: Far From Home merupakan kesinambungan terus dari pengakhiran filem Avengers: Endgame. Di sini, kami bawakan ulasan filem Spider-Man: Far From Home yang kami telah tonton pada Jumaat lalu.


Filem Spider-Man: Far From Home bermula agak lain, di mana skor Marvel yang biasanya keluar bersama montaj pembukaan Marvel, digantikan dengan lagu I Will Always Love You yang dipopularkan oleh Whitney Houston. Filem ini bermula bijak apabila menjelaskan bagaimana rakan sekolah Peter yang hilang selama 5 tahun akibat petikan jari Thanos, kembali tanpa dimamah usia, sedangkan mereka yang lain menjadi lebih tua. Ini kerana Avengers: Endgame meninggalkan penonton dengan tanda tanya tersebut.


Selaku mentor kepada Peter Parker, kematian Tony Stark sudah tentunya meninggalkan kesan mendalam kepada Parker. Dalam filem ini, hadirnya Quentin Beck a.k.a. Mysterio diawal filem dan melihatkan karisma yang dimilikinya, menyebabkan Parker mudah terpedaya yang menganggap Mysterio sebagai mentor terbaharunya. Namun, Mysterio tidak seperti digambarkan. Mysterio bijak memperdaya Parker sehinggakan boleh menyerahkan cermin mata peninggalan Tony Stark yang mengandungi perisian A.I. rahsia yang mampu mengawal satelit milik Stark Industries. Filem Spider-Man: Far From Home bijak menunjukkan cara Mysterio menggunakan elemen ilusi, yang turut digunakan Mysterio dalam komik, tetapi dengan menjadikannya versi lebih diyakini untuk tayangan di layar perak.


Jaye Gyllenhaall, yang melakonkan watak Mysterio, seperti biasa sememangnya amat menonjol dalam filem ini. Beliau berjaya meyakinkan penonton (dan Nick Fury) tentang kisahnya dari Bumi yang berlainan (Earth-833) dan kewujudan Elementals yang merupakan ancaman utama dalam filem ini. Seperti biasa, teknik CGI dalam filem Marvel sememangnya tidak pernah mengecewakan, begitu juga dengan filem Spider-Man: Far From Home. Malahan, rekaan baju zirah Mysterio juga hampir sama dengan rekaan komik, yang sudah tentunya akan memuaskan hati peminat tegar Marvel. 


Kami merasakan filem Spider-Man sangat memuaskan hati dan amat berbaloi menontonnya. Untuk ulasan filem Spider-Man: Far From Home ini, kami berikan 4.8/5 bintang!

Seperti biasa, filem Marvel tidak asing dari end credit scene. Filem Spider-Man: Far From Home mempunyai 2 end credit scene, satu di pertengahan, dan satu di penghujung. BERHENTI DI SINI JIKA ANDA TAK MAHU DI'SPOIL'KAN DENGAN END CREDIT SCENE.




Masih di sini? Ok.

Scene pertama adalah di mana selepas Mysterio dikalahkan oleh Spider-Man, terdapat satu klip video yang ditayangkan (dan ditonton ramai orang), di mana munculnya J.K. Simmons yang melakonkan watak J. Jonah Jameson dari akhbar Daily Bugle. Jika anda masih ingat, Simmons adalah orang yang sama melakonkan watak Jameson dalam siri trilogi Spider-Man lakonan Tobey Maguire dan diarahkan oleh Sam Raimi. Adakah ini bermakna trilogi Sam Raimi wujud dalam MCU, atau adanya multiverse di mana Spider-Man versi Tobey Maguire wujud dalam MCU? Jika ini benar, maka ianya pasti menarik! Seterusnya, klip berkenaan menunjukkan Mysterio membongkar kepada semua yang identiti rahsia Spider-Man adalah ... Peter Parker!

Scene kedua pula adalah di mana menunjukkan di mana Nick Fury dan Maria Hill dalam kereta, yang bertukar rupa menjadi Skrull! Rupa-rupanya sepanjang filem Spider-Man: Far From Home, kedua-dua mereka adalah Skrull yang menyamar. Mereka melaporkan perkembangan yang berlaku kepada Nick Fury sebenar, yang kini sedang berada di angkasa lepas, juga bersama-sama Skrull! Adakah kita akan dapat melihat penglibatan yang lebih besar kaum  Skrull dalam filem akan datang Marvel? Sama-sama kita nantikan.

KOMEN ANDA

Previous Post Next Post